BANGI - Tiga cedera parah dalam satu kemalangan di KM 288 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur, semalam.
Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.07 pagi.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.32 pagi.
"Laporan awal kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Viva yang melanggar pengadang besi lebuh raya dan terbabas ke bahu jalan.
"Mangsa terlibat adalah seorang lelaki dan dua perempuan yang berusia awal 30-an," katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.