Pisang bukan sahaja sejenis buah tempatan yang kaya dengan khasiat malah pelbagai resipi boleh diolah menggunakan pisang. Dari kek, kuih-muih sehinggalah jus dan smoothie. Jadi, hari ini apa kata kita lihat resipi Puding Raja pula!
Bercerita sedikit mengenai hidangan dari Pahang ini, Puding Raja pada asalnya merupakan hidangan istimewa untuk santapan diraja. Tetapi kini, semua lapisan masyarakat boleh menikmati sajian ini pada bila-bila masa! Jom kita tengok resipinya.
Jala Emas:
5 biji kuning telur dibuang tali pusatnya
1 cawan gula pasir
2 cawan air
1 helai daun pandan disimpul
Kelongsong daun pisang - potong sedikit hujung kelonsongnya / botol roti jala (guna piping bag atau botol muncung halus pun boleh )
Cara Membuatnya:
1. Satukan gula dan air dalam periuk yang sesuai, masukkan daun pandan dan masak sehingga mendidih. Keluarkan daun pandan.
2. Kacau kuning telur sehingga sebati dan tapis.
3. Isikan sedikit kuning telur ke dalam kelongsong daun pisang dan kirai ke dalam air gula yang sedang mendidih tadi. (Nota: Kirai seperti membuat roti jala tetapi dalam bentuk bulatan).
3. Biarkan telur dalam air gula selama 1-2 minit dan keluarkan dengan menggunakan chopstick atau pun garfu.
4. Ulang sehingga kuning telur habis (dalam 3-4 kali). Ketepikan jala emas yang sudah siap.
Pisang Goreng:
Pisang yang sesuai untuk buat puding raja ni adalah pisang lemak manis atau pisang emas.
Cara Membuatnya:
Foto: http://mamakitchen-makcikmanggis.blogspot.my
1. Panaskan sedikit butter di dalam kuali yang tidak melekat.
2. Masukkan pisang dan panggang sehingga pisang masak. Ketepikan.
Nota: Jika goreng di dalam minyak penuh, goreng pisang sehingga pisang masak atau sehingga ia terapung.
Kuah Puding: (Kredit: Azie Kitchen)
1 tin susu cair
3 biji kuning telur
1/2 tin air
1-2 cawan gula (ikut cita rasa)
Daun pandan disimpul
Esen vanilla
Cara Membuatnya:
1. Pukul kuning telur bersama susu cair dan air. Tapis untuk membuang pusat telur putih.
2. Masukkan gula dan kacau sehingga gula larut.
3. Masak di atas api kecil bersama daun pandan sehingga sederhana pekat.
4. Masukkan sedikit esen vanila dan kacau selalu supaya tidak bergentel. Keluarkan daun pandan bila siap. Sejukkan
Cara Menghidangnya:
Foto: Azie Kitchen
1. Aturkan pisang di dalam bekas bersesuaian.
2. Tabur jala emas diikuti buah prune, ceri merah, ceri hijau, kismis dan biji gajus mengikut kreativiti masing-masing.
3. Akhir sekali, curah kuah yang telah disejukkan ke atasnya. Siap dinikmati!
Bagi yang menggemari pemanis mulut, Puding Raja ini memang tidak menghampakan. Dijamin sedap bertambah-tambah! Selamat mencuba. - CARI
Kredit Resipi: Blog Cik Manggis |