Ketirisan perbelanjaan kurang satu peratusOleh SM AMIN
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan jumlah ketirisan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berjumlah RM 25 bilion seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Husni, sekiranya benar terdapat ketirisan di dalam belanjawan negara, jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada apa yang diperkatakan oleh Anwar.
“Bila bercakap mengenai RM 25 billion ia merupakan satu jumlah besar dan sumber yang dirujuk oleh Ketua Pembangkang adalah Laporan Ketua Audit. Bila kita kaji kedua-dua siri laporan itu secara keseluruhan, kita dapati teguran oleh Ketua Audit Negara hanya melibatkan jumlah RM 1.5 bilion sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, Rabu.
Husni berkata, Anwar seharusnya memahami maksud sebenar teguran dibuat oleh Ketua Audit Negara dan bukannya terus mendakwa kerajaan gagal mengurus tadbir kewangan negara denga baik sehingga menyebabkan ketirisan. “Apabila kita meluluskan suatu bajet di Parlimen, bajet ini akan digunakan. Penggunaan bajet tersebut ianya mestilah menepati kepada sasaran ataupun prinsip bajet itu diluluskan,” katanya.
“Teguran Ketua Audit bermaksud bahawa mereka mendapati perbelanjaan tersebut tidak mengikut kepada sasaran dan juga prinsip. Oleh sebab itu, yang perlu dilakukan oleh kementerian adalah membuat kajian sama ada ianya tidak menepati sasaran atau pun tidak.
“Sekirannya ia tidak menepati sasaran, sekarang ini kita ada 100 pegawai kerajaan yang akan diambil tindakan dan 25 kes Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Kita tidak mahu kerana beberapa pegawai kerajaan merosakkan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat terjejas,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, jika RM 1.5 bilion diambil sebagai asas kepada ketirisan, nilai tersebut hanya meliputi 0.6 peratus daripada keseluruhan Bajet 2012 yang berjumlah RM 251 bilion.
Husni…persoal angka RM25 bilion didakwa Ketua Pembangkang
Bagaimanapun, jelas beliau walaupun jumlah andaian ketirisan itu sangat kecil, kerajaan tidak memandang rendah perkara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Perolehan yang mempunyai dua peringkat iaitu peringkat di kementerian pelaksana seperti Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan.
“Kementerian pelaksana yang menerima tender akan akan membuat tiga penilaian untuk memilih yang terbaik di mana bukan sahaja lulus dari segi teknikal tetapi juga harga yang terbaik.
“Kemudian tender tersebut akan di bawa ke Kementerian Kewangan untuk dikaji, semak dan imbang. Berdasarkan kepada kajian tersebut barulah keputusan dibuat,” kata ahli Parlimen Tambun itu.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 85 peratus daripada projek-projek yang telah diluluskan adalah di bawah anggaran harga yang telah disediakan oleh pihak kementerian.
Selain itu, pegawai di dalam Jawatankuasa Perolehan juga dikehendaki membuat akujanji tidak terlibat dengan sebarang projek yang diluluskan dan SPRM bebas untuk menyiasat sekirannya didapati terdapat unsur-unsur rasuah.
Husni juga menempelak ahli Parlimen PKR Ampang Zuraida Kamarudin yang cuba menimbulkan persepsi negatif bahawa Datuk Seri Shahrizat Jalil terlibat di dalam skandal projek National Feedlot Centre (NFC) yang diberikan kepada suaminya.
“Saya berharap yang berhormat dapat pergi bertemu dengan Ketua Audit Negara, tanya dia definasi apakah itu teguran? Pergi tanya. Kita duduk di Parlimen, kita menentukan masa depan negara.
“Perkara ini sedang dalam proses mahkamah, kita tidak boleh bincang di dalam Parlimen,” tegas beliau.
Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 peringkat dasar diluluskan malam tadi selepas tiga hari perbahasan. -13/11/2013