Pihak berkuasa India berkata mereka memantau pergerakan penceramah kontroversi itu
PETALING JAYA: Pihak berkuasa India memantau pergerakan penceramah kontroversi Zakir Naik di Malaysia tetapi akui waran tangkap India tidak boleh dikuat kuasakan polis Malaysia, lapor Hindustan Times.
Seorang pegawai kanan Direktorat Penguatkuasaan (ED) Mumbai, yang memperoleh waran tangkap tanpa ikat jamin terhadap Zakir pada 20 April lepeas memberitahu mereka sedar Zakir berada di Malaysia sejak minggu lepas untuk menerima anugerah.
Kumpulan hak Melayu, Perkasa 16 April lepas memberikan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara kepada Zakir di suatu majlis yang diadakan di Kelab Alumni Universiti Malaya.
Zaik merupakan orang asing perkata menerima anugerah itu, yang sebelum ini diberikan kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Menurut Hindustan Times, India mempunyai perjanjian bantuan perundangan bersama (MLAT) dengan 38 negara lain, termasuk Malaysia, oleh itu pihak berkuasa sedang melihat pilihan yang ada di bawah perjanjian itu.
“Usaha membawa pulang akan diteruskan,” kata pegawai ED itu.
Pada 13 April lepas, Mahkamah Khas Akta Pencegahan Pengubahan Wang India mengeluarkan waran tanpa ikat jamin terhadap Zakir dalam kes pengubahan wang yang difailkan ED, selepas Zakir gagal menampilkan diri.
Menurut laporan itu, Agensi Siasatan Kebangsaan (NIA) yang memohon waran tangkap itu berkata mereka akan memohon bantuan Interpol untuk membawa pulang Zakir.
Bagaimanapun, perkembangan terkini permohonan notis merah Interpol belum diketahui.
Ditanya mengenai kemungkinan notis merah Interpol dikeluarkan untuk menangkap Zakir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar minggu lepas berkata: “Tunggu mereka pohon dahulu”.
Pegawai kerajaan India juga sedar Malaysia memberikan status penduduk tetap kepada Zakir, isu yang mengundang kemarahan di Malaysia.
Menurut Hindustan Times, MLAT menetapkan bantuan yang boleh diberikan kerajaan asing antaranya pengambilan bukti atau keterangan; mengaturkan seseorang memberi bukti atau membantu siasatan jenayah, termasuk memindahkan tahanan; melakukan pencarian dan rampasan; mengkaji objek dan kawasan; dan menyediakan dokumen dan rekod berkaitan, termasuk rekod bank, kewangan, korporat dan perniagaan.
NIA mengambil tindakan terhadap Zakir susulan pengharaman Yayasan Kajian Islam November tahun lepas. NIA mendakwa Zakir bersama beberapa orang lain dalam pertubuhannya meradikalkan belia ke arah aktiviti pengganas.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/24/waran-tangkap-zakir-naik-tidak-boleh-dikuat-kuasakan-di-malaysia/