KUALA LUMPUR: Murid tahfiz yang dipotong kedua kakinya, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi akibat jangkitan kuman disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 petang, sebentar tadi, lapor Utusan Online.
Kematian pelajar madrasah tahfiz swasta itu, 11, disahkan oleh bapanya Mohd. Ghaddafi Mat Karim selepas beberapa jam kanak-kanak itu dilaporkan berada dalam keadaan tenat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pembedahan tangan kanan Thaqif terpaksa ditangguhkan kerana keadaan jantungnya yang tidak stabil.
Kes Thaqif yang dimasukkan ke HSI minggu lalu tular di laman sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul pembantu warden. Akibat pukulan tersebut, kedua-dua kaki Thaqif dijangkiti kuman serta darah beku yang memaksa doktor memotong kedua kakinya kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman ke atas tubuh badannya.
Pada Isnin lalu, keadaan Thaqif makin teruk apabila doktor mengesan terdapat darah beku di lengan kri menyebabkan tangan kanannya bertukar hitam dan terpaksa dipotong. Sementara, pembantu warden lelaki berumur 29 tahun berkenaan pula kini direman bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut.
|