CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 359|Reply: 0

[Tempatan] Al Quran membentuk generasi penyayang.

[Copy link]
Post time 29-4-2017 11:43 AM | Show all posts |Read mode

http://www.sinarharian.com.my/fi ... -penyayang-1.666750

Al-Quran bentuk generasi penyayang
FOUZIAH AMIR
28 APRIL 2017

[url=]
[/url]








Biasakan anak mendekati al-Quran untuk dijadikan panduan hidup. - Gambar hiasan


"BAGUS betul anak Ismail. Patuh dengan ibu bapa. Berakhlak mulia."
"Anak tak kenang budi. Dah senang hidup, tak ingat emak ayah yang dah tua."
"Andai masa boleh undur, aku nak didik anak seawal dalam kandungan untuk menjadi orang berguna."



Biarpun jutaan mahupun berbilion ibu bapa di dunia ini, namun setiap daripada mereka mempunyai resipi masing-masing untuk membesarkan dan mendidik anak. Sama ada resipi itu menjadi atau tidak, ia umpama trial & error di saat anak semakin membesar.

Terdapat lambakan buku di pasaran dan maklumat di laman maya untuk dijadikan pilihan ibu bapa dalam mendidik anak. Meskipun wujudnya banyak teori dalam mendidik anak berjaya, namun kecemerlangan itu bukan sekadar pada tubuh badan sihat dan otak pintar.
Kestabilan emosi dan rohani anak juga perlu dibentuk dengan nilai-nilai murni agar menjadi insan berjati diri.

"Mendidik anak bukan semudah membuat kuih. Ada bahan dan alat memasak, kuih sedia terhidang. Untuk mendidik generasi penyayang ada caranya, iaitu kita kena kembali kepada ALLAH SWT," Penasihat Modul Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tadabbur & Tazakkur Al-Quran bertajuk Membentuk Generasi Penyayang sempena Sejam Bersama Al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam pada 8 April lalu.

Menurut beliau, generasi penyayang hanya boleh dibentuk dengan menggunakan teori dan acuan daripada al-Quran. Ini kerana penyayang itu diambil daripada sifat ALLAH iaitu Ar Rahman dan Ar Rahim. Ia biasa disebut Bismillahirrahmanirrahim.

Kalimah Bismillahirrahmanirrahim yang bermaksud "Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang", disebut sebanyak 114 kali dalam al-Quran. Ini termasuk 113 kali di permulaan surah dan satu daripada Surah An-Naml, ayat 30.

ALLAH SWT menunjukkan kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya dengan menurunkan al-Quran. Membentuk generasi penyayang atau generasi ALLAH adalah sangat besar ertinya. Kasih sayang datang daripada ALLAH kepada seluruh makhluk yang diciptakannya, serta sesama manusia.

"Untuk menanamkan kasih sayang dalam generasi tersebut ada disebut dalam Surah Luqman, ayat 12 hingga 19. Luqman Al-Hakim adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS. Umur Luqman panjang sehingga bertemu dengan Nabi Daud AS.

"ALLAH menggelar Luqman sebagai Al-Hikmah disebabkan beliau sebagai hamba yang paling banyak bersyukur dan bertakwa.
"Orang yang paling banyak bertakwa akan diajar oleh ALLAH setiap perkataan yang keluar dari mulutnya penuh dengan hikmah.

"Oleh itu, ALLAH menukilkan nama Luqmanul Hakim dalam al-Quran, dan ia menjadi sebutan sehingga hari kiamat," katanya.
Kenal ALLAH
Safri menjelaskan, Luqman mempunyai cara tersendiri untuk membentuk generasi penyayang di bawah naungan ALLAH. Pertama, Luqman sebagai ayah yang hebat memanggil anak dengan perkataan yang indah seperti 'Wahai anakku'.  

"Ayah yang hebat mampu mendidik anak dengan kata-kata indah dan menyejukkan hati. Kekadang seorang ayah atau ibu yang inginkan generasi penyayang tetapi perkataan mereka yang dilontarkan tiada rasa kasih seperti bercakap kasar.

"Panggilan dengan suara lembut membuatkan anak menjadi ringan langkah datang kepada ibu bapa. Malah untuk menasihati orang, perlu menggunakan kata-kata yang lembut. Contohnya guru menasihati pelajarnya: "Razif, ke sini... cikgu nak cakap."

"Sebelum membentuk generasi penyayang, kita kena membentuk diri sendiri sebagai ibu, ayah dan cikgu yang penyayang," ujar beliau yang juga guru kelas Bahasa Arab di Kumpulan Media Karangkraf.

Merujuk kisah Luqman ketika berkata kepada anaknya yang akan memimpin umat selepas beliau, perkara pertama yang penting dalam membentuk generasi penyayang adalah jangan menyekutukan ALLAH.

ALLAH berfirman: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi pengajaran kepadanya. "Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan ALLAH, sesungguhnya mempersekutukan (ALLAH) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Surah Luqman: 13)
Ini bermaksud, perkara paling penting dalam kehidupan manusia adalah mengenal ALLAH. Ibu bapa  dan guru perlu menanamkan nilai murni terhadap ALLAH dalam jiwa anak mahupun pelajar.
"Terkadang ibu menegur anak yang nakal dengan menjadikan orang lain sebagai sandaran. Contohnya: "Kalau tak buat kerja sekolah, ayah marah. Kalau tak solat, ayah rotan." Sepatutnya, ALLAH menjadi sandaran bagi anak untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
"Dengan adanya Rumah Ngaji di seluruh tanah air, ia menjadi platform bagi ibu bapa untuk mendalami ilmu agama. Seterusnya mereka mampu membimbing generasi penyayang di bawah naungan ALLAH.  
"Kita mahu semua ibu bapa dan seisi rumah sentiasa membaca al-Quran. Kini kebanyakan masyarakat lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet  dan menonton televisyen berbanding al-Quran," katanya.

Surah Al-Baqarah ayat 133 turut menekankan nilai iman terhadap pendidikan anak. Ketika Nabi Yaakub AS menghadapi sakaratul maut, beliau berasa resah gelisah kerana takut tinggalkan generasi selepas beliau yang bukan generasi yang diinginkan ALLAH.

Oleh itu, Nabi Yaakub telah mengumpulkan 11 anak dan bertanya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mungkin ibu bapa lain yang menghadapi kematian akan fikir apa yang anak akan makan (harta) selepas mereka tiada.

"Kenapa kita risau pasal perut, bukan risau pasal hati. Hati kita untuk siapa? Sebenarnya hati kita untuk ALLAH." Lihat jawapan anak Nabi Yaakub AS dalam Surah Al-Baqarah, ayat 133. Ternyata Nabi Yaakub berjaya mendidik anaknya sebagai generasi penyayang di bawah bimbingan dan hikmah sebagai nabi, serta sentiasa dekat kepada ALLAH dan al-Quran.

"Inilah yang kita inginkan untuk melahirkan generasi penyayang, generasi bismillahirrahmanirrahim. Apabila ibu bapa meninggal dunia, anak-anak tetap dalam keimanan terhadap ALLAH," katanya.  

Tambah beliau, generasi rabbani dan penyayang sebagaimana diinginkan oleh ALLAH, akan membawa al-Quran ke seluruh dunia. Penggerak Rumah Ngaji hanya untuk mengingatkan manusia kembali kepada ALLAH dan al-Quran melalui aktiviti Rumah ngaji dan #QuranHour.

Antara resipi lain dalam membentuk generasi penyayang sebagaimana terkandung dalam Surah Luqman adalah menghormati dan mengasihi ibu bapa; berasa sentiasa ada pengawasan ALLAH; mendirikan solat; berjiwa buat kebajikan dan jauhi kejahatan; keperibadian yang ada sifat pengorbanan; dan memiliki akhlak mulia.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 12:56 AM GMT+8 , Processed in 0.065441 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list