Oleh: Iqbal Jalali
ALOR SETAR: Selepas dua tahun pergolakan gabungan pembangkang dengan berakhirnya Pakatan Rakyat, Muktamar PAS Ke-63 membuat ketetapan memutuskan hubungan ‘tahaluf siyasi’ dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekaligus menamatkan spekulasi hubungan tidak menentu selepas PKR dilihat mesra dengan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah).
Usul tersebut dibentangkan oleh Perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail pada sesi pembentangan usul yang diterima untuk dibahas.
“Sejarah lalu mencatatkan bahawa PAS telah melaksanakan hubungan tahaluf siyasi dengan berbagai pihak di sepanjang tempuh perjuangan PAS ini.
“Maka sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-63, kami mengusulkan supaya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputus dengan tertakluk kepada Majlis Syura Ulama, kita menyerahkan keputusan untuk memutuskan keputusan usul ini kepada Majlis Syura Ulama,” katanya.
Usul yang paling kontroversi itu telah diusulkan oleh 21 kawasan PAS selain Dewan Ulama PAS Pusat dan Pemuda PAS.
Zulkifli seterusnya membacakan antaranya enam ketetapan tahaluf siyasi yang digariskan oleh Majlis Syura Ulama sejak dua PRU lalu.
Keadaan sebaliknya berlaku menurut Zulkifli, apabila PKR pula melanggar banyak syarat tahaluf siyasi, kesepakatan dan setia kawan.
“Penglibatan PKR menyokong calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan menentang PAS dalam dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Selain itu, kegagalan PKR untuk memberi sokongan yang baik kepada usaha PAS memperkasakan Mahkamah Syariah melalui Pindaan Akta 355 malah dilihat turut bersama dengan pendirian DAP menentang keras Pindaan Akta 355 ini.
“Dan kenyataan-kenyataan pimpinan PKR secara terbuka yang jelas memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap PAS sekali gus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan,” jelasnya.
Usul yang dibentang itu kemudiannya disokong oleh Perwakilan PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang turut mendakwa PKR mencuri Ahli Parlimen PAS Kamaruddin Jaafar.
“Apa nilai persahabatan apabila pemimpin PAS dicuri. Kita ingin mencabar beliau bertanding sendirian di Tumpat secara anak jantan.”
Pengerusi Tetap, Hussin Ismail kemudiannya mengambil peranan bertanyakan kepada para perwakilan sama ada mereka setuju atau tidak dengan usul tersebut.
Hampir seluruh 1,200 perwakilan melaungkan kata ‘setuju’ sambil berdiri bagi menyatakan sokongan mereka sekaligus menjadikan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut riuh rendah.