Edited by Kentang.Goreng at 21-5-2017 05:25 PM
Norhaslinda(kiri) dan Nur Hidayatul Nadhrah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret BatuPahat selepas didakwa mencuri barang kemas bernilai RM25,000 daripada seorangsuri rumah di Kampung Parit Selamat, Yong Peng. FOTO Adi Safri
Sabtu, 20 Mei 2017 @ 10:07 PM BATU PAHAT: Polis menumpaskan sindiket menyamar jururawat yang menyamun mangsa dalam kalangan suri rumah dan warga tua di sekitar Batu Pahat, Muar, Segamat, Gemas, Negeri Sembilan dan Muadzam Shah, Pahang, sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat,Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kejayaan itu berikutan penangkapan tiga suspek utama di Kluang, Tangkak dan Muadzam Shah, akhir bulan lalu.
Katanya, dua suspek wanita masing-masing berusia 36 dan 25 adalah bermadu manakala seorang lagi ahli sindiket ialah lelaki berusia 30 tahun.
"Hasil siasatan mendapati suspek lelaki berperanan sebagai penunjuk rumah yang disasarkan kerana mempunyai pengetahuan berkaitan keadaan rumah mangsa kerana pernah datang berurusan menjual penapis air sebelum itu.
"Dua suspek wanita yang bermadu itu pula akan menyamar sebagai jururawat lengkap memakai pakaian seragam dan masuk ke rumah mangsa berpura-pura melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa sebelum melarikan barang kemas serta wang tunai.
"Hasil barang kemas yang dicuri akan dijual sebelum dibahagi antara mereka. Dua orang pembeli barang kemas berkenaan turut ditangkap dan resit pembelian turut dirampas.
"Polis turut menemui catatan transaksi jual beli emas hasil curi yang tercatat dalam lapan resit yang berjumlah RM 39,800 dalam tiga serbuan dilakukan di Kluang, Segamat dan Port Dickson," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Abdul Wahib berkata, ketiga-tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi esok atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.
BH sebelum ini melaporkan kejadian samun menimpa warga tua, Zabaidah Aspan, 63, pada 7 April lalu, berlaku kira-kira jam 1 tengah hari, ketika suaminya, Yusof Sarmidi, 68, keluar menunaikan solat Jumaat.
Zabaidah dilaporkan berkata, dia didatangi dua wanita mengaku sebagai jururawat dari Klinik Kesihatan Batu Pahat, yang ingin membuat pemeriksaan terhadapnya yang kebetulan menderita kencing manis sebelum menyuntik cecair misteri yang membuatnya separuh sedar sebelum barang kemasnya dilarikan.
Pakatan Durjana 2 Madu Berakhir Ke Mahkamah
Published on May 21, 2017
BATU PAHAT – DUA wanita bermadu yang berusia 25 dan 35 tahun bukan sahaja berkongsi suami, malah sanggup berkomplot untuk mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000, bulan lalu.
Lapor Berita Harian, kedua-dua wanita terbabit menyamar sebagai ‘jururawat palsu’ sebelum menyamun mangsa di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Johor Bahru, kira kira jam 1 tengah hari, pada 7 April lalu.
Norhaslinda Resat, 36, dari Tangkak dan madunya, Nur Hidayatul Nadhrah Misman, 25, dari Kluang, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mencuri satu rantai emas, tiga gelang emas dan tiga cincin emas bernilai RM25,000 milik suri rumah, Zabaidah Aspan.
Bagaimanapun, kedua-dua madu berkenaan yang sebelum ini bekerja sebagai penjual penapis air tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah sama, rakan subahat dua madu terbabit, Mohd Tarmizi Jamil, 30, yang berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah, Pahang, turut didakwa menerima harta curi dalam bentuk wang tunai berjumlah RM1,400 yang diketahui adalah hasil curi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi dan waktu sama, selain didakwa mengikut Seksyen 411 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang bagi dua madu berkenaan manakala tertuduh lelaki diperintah membayar jaminan sebanyak RM5,000.
Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 31 Mei ini dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham. -MYNEWSHUB.CC
|