Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, bengkak di pipi kiri Puntung membawa kepada pengesanan akar gigi yang dijangkiti kuman dan semakin serius.
Menurutnya, Puntung disahkan menghidap kanser kulit jenis sel skuamus selepas pembedahan serta dua biopsi dilakukan.
“Kanser itu telah merebak dengan pantas sejak beberapa minggu lalu. Pakar dari beberapa negara juga bersetuju bahawa keadaan itu akan membawa maut, dengan atau tanpa rawatan.
“Sehingga hari ini, Puntung tidak lagi boleh bernafas melalui hidung kiri, malah badak Sumatera betina itu kini berada dalam kesakitan serta keadaan kesihatannya bertambah merosot selain menggunakan ubat penahan sakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Augustine, pihaknya juga terpaksa bersetuju dengan nasihat perubatan profesional sekali gus membenarkan kerajaan negeri untuk melakukan euthanasia.
Rawatan euthanasia adalah mencabut nyawa secara perlahan untuk menamatkan siksa kesakitan akibat sesuatu penyakit.
“Walaupun keputusan itu amat sukar untuk dilaksanakan, kaedah euthanasia ke atas Puntung dirancang dilakukan pada 15 Jun ini,” katanya.
Badak sumbu Sumatera mempunyai jangka hayat kira-kira 35 tahun dengan usia Puntung ketika ini dianggarkan sekitar 25 tahun.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Rhino Borneo (Bora), Datuk John Payne berkata, perkara itu merupakan berita menyedihkan kepada mereka yang terbabit dalam kehidupan Puntung sejak 10 tahun lalu.