Natasha Liana Hudson, 34, mengejutkan industri apabila muncul berhijab penghujun tahun 2016. Mungkin ramai yang tidak tahu, kali pertama Tasha menyarungkan purdah adalah dua tahun lepas. Dugaan mengandungkan anak ketiga membuatkan istiqamahnya lebur. Hasratnya terkandas dan dia tekad membuka purdah dan kembali mengenakan tudung biasa.
Ada komen yang menyatakan bahawa dia terikut-ikut amalan niqab yang diajar dalam mazhab Hambali. Tasha tidak melatah dan merasakan masyarakat khususnya orang Islam perlu mempelajari terlebih dahulu kesemua empat mazhab utama dalam agama. Biarpun kita tidak mengikuti mazhab tertentu, tidak bermakna kita boleh menghukum amalan mazhab lain itu sebagai salah atau menyanggah hukum. Sebagai umat Islam, kita perlu hormati kesemuanya, apatah lagi sebagai insan kerdil yang masih banyak perlu dipelajari. “Anda perlu faham, niqab bukan budaya Arab. Ini adalah Islam dan merupakan pemakaian yang disunahkan. Ia ibarat kita mengelaskan surah An-Nur khusus untuk orang Arab sahaja. “Dari segi berpakaian, ramai yang menyifatkan jubah sebagai budaya Arab. Ia tanggapan yang tidak benar. Banyak bukti dalam surah An-Nur menjelaskan tentang tatacara berpakaian. Ia mestilah besar dan longgar. Ciri tersebut diterjemahkan dalam jubah yang menjadi pakaian rutin masyarakat Islam.
“Jangan malu untuk memakai pakaian yang lebih labuh dan longgar. Begitu juga niqab, ia bukan hak mutlak orang Arab. Kalau kita hendak memakai baju kurung sekalipun, tidak menjadi masalah selagi ia memelihara aurat dan menjaga kesopanan berlandaskan syariat,” kongsi Tasha. Kredit to Pepatung
|