CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 891|Reply: 7

[Terkini] Kes Saman PAS terhadap Sarawak Report berkaitan isu 1MDB

[Copy link]
Post time 6-8-2017 05:32 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Edited by cmf_BeachBoys at 8-8-2017 08:21 PM

KENYATAAN MEDIA

5 Ogos 2017

“PERKEMBANGAN POSITIF KES SAMAN SARAWAK REPORT DI LONDON”

Pada Rabu 2 Ogos 2017, pasukan peguam dari firma Carter-Ruck dan barrister Jacob Dean, yang mewakili Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHA) dalam saman fitnah yang diambil terhadap Clare Rewcastle Brown (CRB), di London Courts, telah menghadiri prosiding mahkamah untuk pendengaran prosiding pengurusan kes.

Saman sivil oleh TGHA itu adalah berkaitan dengan artikel yang ditulis oleh CRB pada Ogos 2016, yang memberi gambaran tuduhan dan difahami dengan jelas adalah satu fitnah, melalui tuduhan bahawa TGHA menerima rasuah dari Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Najib dengan nilaiannya RM 90 juta.

Pendengaran pengurusan kes pada hari berkenaan adalah untuk menentukan usaha CRB bagi memaksa TGHA untuk mendepositkan sejumlah wang di mahkamah sebagai jaminan keselamatan, sekiranya TGHA kalah dalam kes berkenaan dan terpaksa membayar kos guaman CRB, di mana CRB menjangkanya dalam lingkungan jumlah keseluruhan 800,000 pound (hampir RM4.5 juta) sehingga kes tamat.

Panel peguam TGHA dari Carter-Ruck berjaya berhujah, dengan dibantu oleh pandangan pakar undang-undang dari Malaysia, bahawa sebenarnya wujud undang-undang yang jelas yang tidak menghalang CRB untuk menuntut kos beliau menerusi mahkamah Malaysia sekiranya beliau menang kes saman ini dan jumlahnya tidak melebihi RM80,000 sahaja. Di atas keyakinan dari awal terhadap kes ini, maka TGHA bersetuju dengan deposit keselamatan dengan jumlah ini yang nyata adalah memadai serta tidak kontroversi.

Hujah CRB bahawa beliau akan gagal membawa kes saman terhadap TGHA di Malaysia adalah kerana Badan Kehakiman, Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri adalah mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan TGHA telah ditolak oleh mahkamah di London. Mahkamah juga mendapati bahawa tuduhan serius ini tidak disokong bukti oleh CRB walaupun beliau mempunyai masa berbulan-bulan untuk berbuat demikian.

Mahkamah juga tidak menerima hujahan CRB tanpa membawa bukti, bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.

Mahkamah juga telah menerima tawaran TGHA untuk meletakkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit keselamatan.

Hasil dari hujah kosong dalam permohonan CRB, mahkamah juga telah mengarahkan beliau membayar 2/3 (dua pertiga) dari kos yang terlibat. CRB mesti membayar 15,000 (hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh TGHA, di mana kuantum pembayarannya akan dipantau oleh mahkamah.

Mahkamah juga mengarahkan CRB untuk membuat pembelaan beliau dalam tempoh 21 hari supaya kes ini dapat diteruskan dan beliau tidak lagi berlarutan untuk berdolak dalih.

Permohonan rayuan CRB terhadap keputusan ini juga telah tidak dbenarkan oleh mahkamah.

Perkembangan ini adalah sangat positif, dalam proses TGHA untuk membersihkan nama beliau terhadap tuduhan fitnah melampau oleh CRB dan artikelnya dalam Sarawak Report.

TGHA mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Mr Adam Tudor dan pasukan peguamnya dari Carter-Ruck, London dan di Malaysia.

TGHA juga mengucapkan jutaan terima kasih pada semua ahli PAS dan orang awam yang berterusan memberikan sokongan melalui berbagai cara dalam kes ini.

TGHA juga sebenarnya dimaklumkan oleh firma Carter-Ruck bahawa Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan telah memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia serta Badan Kehakiman di Malaysia oleh CRB dalam dokumen beliau yang dikemukakan ke mahkamah.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 6-8-2017 05:58 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by cmf_BeachBoys at 6-8-2017 06:04 PM

Belum apa-apa PAN dah start meroyan.mungkin takut kot.

https://m.malaysiakini.com/news/391036

Hanipa tak jadi ucap tahniah pada PAS

Pemimpin atasan PAS dinasihat tidak menjaja cerita kepada anggota bawahan kononnya presiden mereka sudah memenangi perbicaraan saman ke atas portal Sarawak Report.

Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, menjelaskan sebenarnya perjalanan perbicaraan itu masih jauh dan apa yang berlaku semalam masih di peringkat sangat awal.

Kata Hanipa sebenarnya perbicaraan belum pun bermula dan PAS tidak memenangi perbicaraan penuh, sebaliknya ia masih di peringkat pengurusan kes.

"(Sebenarnya) permohonan Sarawak Reort untuk meminta PAS membayar apa yang dipanggil security for cost ditolak mahkamah dan seperti yang diduga portal itu diperintah untuk membayar kos kepada parti suci sebanyak sebanyak 15,000 (RM83,719).

"Saya harap parti suci tidaklah menjual (cerita) pada orang kampung di bawah yang ia sudah menang bicara. Belum lagi..." katanya hari ini.

Itu hal lumrah

"Parti suci" yang digunakan Hanipa istilah sinis yang merujuk kepada PAS.

Hanipa yang pernah menjadi pengerusi biro undang-undang PAS menulis begitu sebagai mengulas "perkembangan positif" saman Abdul Hadi ke atas editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menjelaskan Clare diperintah mahkamah London untuk membayar presiden PAS itu sekurang-kurangnya 15,000.

Mahkamah pada 2 Ogos lalu dilaporkan memihak kepada Abdul Hadi selepas Clare meminta deposit wang sebagai jaminan keselamatan, sekiranya presiden PAS itu kalah dalam kes berkenaan.

Ahmad Shamsuri berkata mahkamah juga telah menerima tawaran Abdul Hadi untuk membayar RM80,000 sebagai deposit keselamatan.

Kata Hanipa (gambar) apabila membaca laporan disiarkan Malaysiakini semalam beliau bercadang mahu menulis ucapan tahniah kepada PAS kerana menang dalam saman berkenaan.

Kita saja nampak besar

Bagaimanapun, selepas membaca kandungan penuh berita itu, kata Hanipa, apa yang difikirkan pada awalnya berbeza daripada keadaan sebenar.

Kata Hanipa memang menjadi lumrah dalam kes saman sivil pihak seperti Sarawak Report memohon pihak luar dari United Kingdom (UK) membuat bayaran jaminan.

Menurutnya keadaan sama juga berlaku di Malaysia jika peguam di sini mewakili pelanggan tempatan menyaman pihak luar negara yang tidak tertakluk kepada perundangan di sini.

"Asas security of cost yang didepositkan di mahkamah adalah pihak seperti Sarawak Report ingin memastikan jika pihak luar kalah dalam perbicaraan dan diperintah membayar kos, ia masih terjamin walaupun arahan itu diingkari," katanya.

Dalam undang-undang juga, kata Hanipa, ada frasa cost follows the event bermaksud pihak yang kalah perlu membayar kos kepada pihak yg menang.

"Oleh kerana Sarawak Report kalah dalam permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya parti suci membayar security for cost, maka mereka kena bayar kos permohonan itu seperti yang dilaporkan. Itu biasa.. tiada yang luar biasa," katanya.

Hanipa juga menyatakan dalam konteks UK, nilai 15,000 itu tidaklah dianggap begitu besar tetapi keadaan menjadi sebaliknya jika ditukarkan kepada mata wang Malaysia.

"Memanglah nampak besar sebab mata wang kita kecil dan lemah!" katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-8-2017 08:20 PM From the mobile phone | Show all posts
1MDB: TUBUHKAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA, PENEGASAN PAS YANG KONSISTEN

1. PAS telah mengadakan Sidang Meja Bulat 1MDB dengan pihak pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Presidennya, Arul Kanda bersama-sama tokoh-tokoh akademik dan ekonomi dalam negara.

2. Langkah yang diambil ini selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh PAS, berasaskan kepada Politik Bertunjangkan Prinsip dan Politik Kebenaran Bukan Persepsi.

3. PAS mendengar laporan dan penerangan dari pihak yang terlibat dan menerima pandangan dari pakar sebelum membuat sesuatu keputusan, ini adalah penting supaya keputusan yang diambil adalah matang, rasional dan tepat serta jauh daripada terpengaruh dengan permainan media dan ‘political game’ pihak berkepentingan.

4. YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Pakar Ekonomi dan juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berpandangan bahawa kesilapan pengurusan 1MDB bermula bila mempunyai modal yang kecil tetapi berbelanja dan memiliki hutang yang besar sehinggakan pendapatan yang ada untuk membayar faedah yang tinggi. Beliau juga tidak percaya dengan hasrat ‘baik’ DOJ mengenakan saman sivil yang disifatkan mempunyai kepentingan politik tertentu bukannya dapat memberi faedah kepada rakyat di negara ini.

5. Datuk Wan Ahmad Fauzi Bin Hashim @ Wan Husain, bekas Penasihat Undang-undang Sultan Terengganu juga menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjelaskan dakwaan adanya korupsi dan campurtangan politik serta ada sesuatu yang tak kena sebagaimana telah disebut dalam Laporan PAC.

6. Justeru itu, PAS telah membuat beberapa pendirian supaya isu 1MDB diselesaikan dan rakyat tidak dibebankan sebagaimana berikut;

Pertama: Memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka PAS berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa. Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan timbul masalah baru jika tidak dikawal.

Kedua: PAS mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetus kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda Kandasamy diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap 1MDB.
~ Cadangan ini telah pun dibawa oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pada 13 Oktober 2015, antara yang paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.
~ PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, justeru ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya mempunyai bidang kuasa menyiasat.
~ Dengan penuh hormat kepada agensi penguatkuasa yang ada di Malaysia, SPRM, Polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, Audit Negara, PAS melihat bahawa perlunya RCI ditubuhkan juga dan ini sahaja jalan keluar yang ada bagi mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Ketiga: PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah yang dikenakan adalah sangat besar, sebanyak 1.9 billion USD setahun. Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar interest bertambah.

Keempat: PAS mengharapkan tidak banyak campurtangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi yang telah pun dikemukakan. Kita mahu isu ini diselesaikan dengan rakyat tidak dibebankan. Selain itu, sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campurtangan asing dan kita mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara. Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat.

"Sejahtera Bersama Islam"

Sekian, terima kasih.

Oleh: Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
7 Ogos 2017.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-8-2017 03:33 PM From the mobile phone | Show all posts
Catatan Parlimen: Dewan Hangat Hari Ini

1. Suasana Dewan agak hangat hari bermula apabila Ahli Parlimen Segambut daripada DAP telah bangun mempertikaikan mengapa 1 MDB memberi Taklimat kepada pimpinan PAS di luar Dewan.?
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyebut kembali keputusan Tan Sri Speaker mengenai larangan perbincangan 1 MDB itu hanya terpakai dalam Dewan, adapun mengenai apa berlaku di luar Dewan bukanlah dalam kuasa Speaker.

2. Aneh sungguh melihat gelagat Pakatan Harapan.
PAS yang dapat taklimat daripada Presiden 1 MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Mereka tidak dapat taklimat sama, mengapa PAS pula yang dipersalahkan.?
Dipersilakanlah Pakatan Harapan pula menjemput wakil 1 MDB untuk memberi taklimat kepada mereka.

3. YB Kota Bharu yang juga Setiausaha Agung PAS bangun memperjelaskan keadaan. Beliau menyatakan bahawa terdapat 6 soalan Ahli Parlimen PAS mengenai 1 MDB turut ditolak oleh Dewan.
Oleh kerana ada ruling sub judice dalam Dewan, PAS pun berusaha mendengar penjelasan di luar dewan.
Adakah itu pun salah.?
Namun, suasana dewan agak kecoh apabila Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching dengan biadabnya menuduh PAS kini sudah menjadi Cawangan UMNO dan mendesak PAS bergabung dengan UMNO.

4. Dewan hari ini dijangka habis lewat kerana Menteri telah menyatakan usul bahawa Dewan tidak akan berhenti sehinggalaah RUU no 1 sehingga 4 selesai dibahas dan diluluskan.
Kelihatannya, Kerajaan begitu terdesak mahu menyegerakan RUU 164 yang berada pada giliran no 4 itu diluluskan pada hari ini juga.
RUU itu baru masuk semalam, hari ini sudah mahu diluluskan.

5. Pada masa sama, DAP pula telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyokong Kerajaan BN sekiranya pindaan Perlembagaan dibuat agar anak Muallaf tidak boleh diIslamkan secara sebelah pihak.
Wah, boleh pula DAP menyokong BN dalam hal ini.?
Kalau PAS yang berpendirian sedemikian rupa, 1001 kecaman dilemparkan.
Inilah wajah DAP yang sebenar, sanggup buat apa sahaja bagi melemahkan Islam.

Catatan oleh;
Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal parlimen PAS
09 Ogos 2017
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 9-8-2017 05:57 PM From the mobile phone | Show all posts
Edited by cmf_BeachBoys at 9-8-2017 05:58 PM

Cuba baca ni,percubaan Rafizi Ramli untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS.Seolah-olah PAS pejam mata dalam soal menangkap dalang yang mencuri duit 1MDB.Padahal PAS lah yang mencadangkan supaya diwujudkan Suruhanjaya DiRaja bagi menangkap dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.Cuba lihat post #3 bagaimana pendirian PAS yang sebenarnya.


PENDIRIAN PAS MENGENAI 1MDB MENGECEWAKAN, RASIONALISASI 1MDB ADALAH PINDAHMILIK HUTANG KEPADA RAKYAT

Saya membaca beberapa kali laporan-laporan mengenai taklimat 1MDB oleh CEOnya Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS. Saya juga menonton rakaman sidang media oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS untuk memastikan saya tidak tersalah dengar.

Kesimpulan yang dibuat oleh kepimpinan PAS selepas taklimat itu dilaporkan seperti berikut:
i. Bahawa PAS berpuas hati dengan proses rasionalisasi 1MDB;
ii. Bahawa PAS merasakan perlu ada pemantauan ke atas syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih aset dan hutang 1MDB itu.

Saya tidak pasti sama ada pimpinan PAS yang hadir di dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu.

Proses rasionalisasi 1MDB seperti yang dijaja oleh Arul Kanda dan pimpinan Umno/Barisan Nasional ialah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc. Segala yang diterangkan oleh Arul Kanda itu sudah pun diketahui umum dan melibatkan perkara-perkara berikut:

i. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB disamping memindahkan hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru itu. Contohnya, penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China;

ii. Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan pembangunan di tanah-tanah itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh Kerajaan Malaysia suatu ketika nanti. Penjualan itu juga diharap akan dapat membawa dana untuk membantu 1MDB mengurangkan hutangnya. Contohnya, penjualan tanah-tanah di Pengkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia;

iii. Menjual aset-aset negara kepada tabung-tabung dana rakyat pada harga yang berkali ganda mahalnya atau memindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibupejabat yang baru. Contohnya, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibupejabat baru di Tun Razak Exchange;

iv. Memindahkan anak syarikat-syarikat 1MDB yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan seterusnya mewarisi hutang-hutang tersebut. Contohnya, SRC International Sdn Bhd dipindahkan kepada MOF Inc dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat.

Sebab itu saya ingin bertanya kembali kepada kepimpinan PAS: apabila mereka berpuas hati dengan kemajuan proses rasionalisasi itu, adakah mereka bersetuju dengan kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah?

Di mana baiknya tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindahmilik kepada kerajaan? Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada sehingga orang yang mati pun masih perlu membayar cukai dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan?

Saya kecewa dengan kenyataan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan pendirian pimpinan PAS itu kerana ia akan dijadikan modal oleh Umno/Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan memindahkan hutang kepada rakyat.
Sewajarnya, bila Arul Kanda atau pengurusan 1MDB menawarkan untuk memberi taklimat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man perlu mengambil peluang itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan Parlimen kerana selama ini Arul Kanda mengelak daripada hadir mengambil soalan-soalan ahli parlimen, terutamanya ahli parlimen pembangkang.

Saya menasihatkan pimpinan PAS supaya lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan propaganda Umno/Barisan Nasional yang hanya mahu menggunakan PAS untuk mengurangkan kritikan rakyat terhadap penyelewengan-penyelewengan yang telah berlaku di dalam1MDB.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

#saya nasihatkan Rafizi Ramli berhentilah berlagak pandai dalam semua hal dan jadilah sotong seperti seadanya.
Reply

Use magic Report

Post time 12-8-2017 02:26 AM | Show all posts
Undilah PAS

Boleh mencandat sotong
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 12-8-2017 06:19 AM From the mobile phone | Show all posts
Jangan hidup dalam persepsi brader
Reply

Use magic Report

Post time 12-8-2017 11:25 AM | Show all posts
banyak yang dinyatakan rakyat yang menanggung beban....
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 07:54 AM GMT+8 , Processed in 0.338401 second(s), 34 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list