Petang Sabtu lalu, menara berputar Tiger Sky Tower di Sentosa, Singapura ditutup selepas 39 penumpang termasuk empat kanak-kanak dan seorang operator terperangkap lebih empat jam di menara tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 petang itu, Sky Tower yang mampu memuatkan 55 penumpang pada satu-satu masa tiba-tiba berhenti pada ketinggian 30 meter ketika sedang menaik.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kenyataan di Facebook, kabin penumpang Sky Tower itu dibawa turun secara mekanikal kira-kira pukul 9.45 malam.
Channel NewsAsia melaporkan Pengarah Sky Tower Alexander Melchers berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan untuk memutuskan tarikh mereka akan mendapat permit operasi untuk meneruskan semula operasi menara itu.
“Kami mengambil keputusan untuk menggantung operasi sehingga kami tahu apa yang berlaku supaya kami dapat memastikan daya tarikan ini akan terus beroperasi dengan selamat.”
“Namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kali ini."
Pada ketinggian 131 meter dari aras laut, panorama di sekitar Sentosa, pulau-pulau di selatan Singapura, negara jiran Malaysia dan Indonesia dapat dilihat dengan menaiki Sky Tower ini.
Tidak hairanlah jika ia dikatakan menara pemerhatian tertinggi di Singapura.
Ini merupakan kali ketiga operasi Sky Tower terpaksa ditutup yang mana kali pertama dan kedua berlaku pada 2010.- CARI