|
LENGGONG, 19 Ogos — Seramai 30 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temelong di sini, hadir meraikan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah itu hari ini.
Kebanyakan mereka hadir lengkap dengan seragam sekolah dan berlencana, bersama anak dan cucu, yang diraikan oleh guru besar, guru serta dan 500 penduduk kampung.
‘Murid’ tertua Sariah Yaacob, 86, hadir selepas dijemput Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), terasa seperti kembali ke zaman persekolahan dulu.
“Banyak kenangan pahit manis makcik selama tiga tahun bersekolah di sini,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Rahni Zapi, 67, juga berkongsi kisah tersendiri apabila menamatkan pelajaran sekadar darjah tiga.
“Apabila Jepun datang menjajah, makcik terpaksa berhenti sekolah sehingga darjah tiga saja,” katanya bersama anak yang juga bekas murid sekolah itu.
Pelbagai acara menarik diadakan antaranya sesi ramah mesra antara bekas murid, pameran, gubahan, solekan, senamrobik, kugiran dan mengibar Jalur Gemilang.
Ia dirasmikan Setiausaha Sulit Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dr Jurij Jalaludin.
Turut hadir Guru Besar Mohd Reduan Amir Hamzah dan Yang Dipertua PIBG Suhaimi Bahari.
Sekolah itu ditubuhkan pada 19 Ogos 1917.
|
|