DATUK Takiyuddin Hassan.- Foto Khairull Azry Bidin
KOTA BHARU: Jawatankuasa khas yang ditubuhkan PAS untuk membela mangsa tragedi Memali, akan membawa keluarga mangsa untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pertemuan itu bertujuan mengemukakan aduan rasmi dan memohon Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan kadar segera memandangkan tragedi Memali itu berlaku 32 tahun lalu.
Katanya, pertemuan dengan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu akan dibuat dalam masa terdekat.
"PAS memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Presiden, Idris Ahmad, bermula semalam bagi membela mangsa tragedi Memali.
"Pada masa sama, kita membentuk pasukan khas peguam yang diterajui Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia bagi membantu pihak yang terbabit dalam sudut perundangan.
"Kita mengharapkan RCI yang akan ditubuhkan nanti apat menyelesaikan segala kekeliruan tentang peristiwa malang ini dan juga membela nasib serta hak semua pihak yang teraniaya," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedia menimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada November 1985.
Katanya, siasatan itu boleh ditimbangkan jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak termasuk parti pembangkang bagi mendapatkan maklumat sebenar kejadian itu demi kepentingan dan keadilan mangsa tragedi berkenaan.
|