Bila berbuat kebaikan, menerima saudara Muslim dari negara mereka yang dilanda musibah peperangan, perlu ikut sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat sebagaimana tercatit dalam sejarah hijrah, kaum Ansar (Aus & Khazraj) di Madinah (Yathrib) menerima kaum Muhajirin (Quraisy) yang tertindas di Makkah. Mampukah kerajaan dan rakyat Malaysia menjadi seperti kaum Ansar menerima saudara seagama yang berhijrah sebagaimana kaum Muhajirin? Tanpa melabel mereka pelarian, tetapi memberikan kediaman, perlindungan, pendidikan, hak untuk mendapatkan pekerjaan (menerusi permit kerja) dan terlibat dalam kontrak sosial?
Negara Islam Madinah berkembang dari kaum Ansar (penduduk asal) dengan kaum Muhajirin (pendatang) sehingga membentuk dasar Daulah Islamiyyah di bawah payung Khulaffak ur Rashiddin.
Kesultanan Melayu berdaulat bermula dengan Melayu Anak Jati (Melayu Semenanjung) menerima migran Melayu Anak Dagang (rumpun Melayu Nusantara spt Bugis / Minangkabau / Banjar / Boyan / Jawa / Mandailing / Rawa dll) yang mencorakkan sosio pembentukan jatidiri identiti Melayu.
Arab Saudi sebagai kaum Ansar menerima 2.4 juta pelarian Syria, 1 juta pelarian Yaman dan lebih 400,000 pelarian Rohingya dimana mereka ini semua kaum Muhajirin diberi perlindungan dan tempat kediaman, malah peluang pekerjaan disediakan menerusi pemberian permit kerja agar kaum Muhajirin ini hidup bermaruah mencari rezeki dikalangan kaum Ansar.
Kita pernah menjadi kaum Ansar kepada pelarian Muhajirin dari Bosnia dan Bangsamoro. Sudah tiba masa kita fikirkan dan implementasi perkara yang sama kepada Rohingya. Jangan biarkan mereka yang sudah tertindas di Myanmar, menjadi pengemis melarat di negara kita pula. Jangan nafikan hak mereka untuk hidup bermaruah di negara kita ini.