Pendatang baru di persada skrin TV, Nadia Brian yang diuji bakat lakonan teater semasa pengajiannya tiga tahun lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berkata dia sudah lama menggunakan nama tersebut. Pengalaman berlakon teater turut memberi peluang kepada Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, dengan watak dalam teater Bawang Putih Bawang Merah selain sudah bersedia dengan kontroversi seperti ini akan timbul, percaya tidak menjadi kesalahan menggunakan nama datuknya. Kata pelakon yang berdarah kacukan berbanding Melayu sejati ini, dia sebati dalam keluarga dan rakan-rakannya sejak kecil lagi menggunakan nama Nadia Brian. “Saya sememangnya sudah lama menggunakan nama tersebut. Malah nama Nadia Brian juga sudah sebati dalam keluarga dan rakan-rakan saya sejak kecil lagi.
“Tentang isu nama ini, tiada yang perlu diperbesar-besarkan kerana datuk saya, Brian Goldring Abdullah seorang warga Australia. “Saya ‘bawa’ nama datuk sebagai rasa penghargaan saya kepadanya. Lagipun nama Nadia Brian itu sudah lama dikomersialkan sejak saya mengenali media sosial di Internet. “Saya menggunakan nama yang sama sewaktu saya menceburi bidang peragaan. Juga ketika saya melangkah masuk dalam dunia lakonan. “Salahnya kalau seseorang itu tiada kaitan dengan nama-nama tertentu tetapi dengan sengaja menggunakan nama tersebut untuk mempopularkan diri mereka,” kata Nadia. Anak kelahiran Negeri Perlis yang dibesarkan di Kelantan, bersyukur sejak kali pertama melangkah dalam lakonan pertengahan tahun ini, dia menerima banyak tawaran berlakon. Langkah awalnya bermula dalam drama Akulah Balqis melakonkan watak Milda, isteri yang berdepan dengan pelbagai konflik dengan baik sekali. Bagi gadis berusia 24 tahun ini, watak sebagai isteri kepada pelakon Nazim Othman, walaupun pertama kali berlakon bersama, namun mampu dilakonkan dengan baik dan pendapat pujian penonton drama TV. “Alhamdulillah selepas itu, saya turut di beri kepercayaan untuk berlakon dalam drama Rumi dan Jawi sebelum ditawarkan menjadi peneraju utama untuk drama rantaian berjudul Nifaq yang akan ditayangkan tidak lama lagi. “Malah saya juga akan melebarkan sayap ke layar putih apabila bakal menandatangani perjanjian dengan produksi filem awal tahun depan, Insyallah” katanya. Nadia yang menggenggam ijazah sarjana muda dalam bidang penyiaran dari UiTM, turut di anggap antara pelakon yang bertuah kerana langkah pertamanya mendapat kepercayaan daripada penggiat seni tempatan. Hadir dengan pakej yang lengkap, Nadia juga menampilkan kelebihan dengan kualiti lakonan yang dikatakan setaraf dengan pelakon lebih senior. “Saya mengakui ilmu dalam bidang pementasan teater yang dipelajari di UiTM Shah Alam, tiga tahun lalu banyak membantu mengilap bakat saya.
|