Edited by mbhcsf at 14-9-2017 11:04 PM
sumber asal : http://www.yadim.com.my/v2/?p=30260
Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan Sebagaimana hikmatullah menjadikan bumi sebagai kediaman manusia, untuk melangsungkan kehidupan dengan penuh pancaroba, lantas Allah SWT mengurniakan beberapa panduan dalam melayari kehidupan sebagai khalifah-Nya yang dibimbing dengan petunjuk dan hidayah. Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya) daripada Tuhannya, lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang.”(al-Baqarah:37)
Allah menyebut: “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya) daripada Tuhannya”,iaitu menerima beberapa doa daripada Tuhannya secara diilhamkan-Nya, lantas Baginda berdoa dan doa ini ditafsirkan dalam surah al-A’raf. Ibn Jarir at-Thabari berkata, tafsiran ‘menerima’ bermaksud ‘mengambil’. Ibn Jauzi di dalam kitabnya, Zad al-Masir, menyebut maksud kalimat itu dengan beberapa pendapat ulama:
Pertama, ayat 23 daripada Surah al-A’raf – pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Said bin Jubir, Mujahid, A’tak al-Kharasani, Ubaid bin Umair, Ubai bin Ka`ab dan Ibn Zaid.
Kedua, kata Adam, “Hai Tuhanku, tidakkah Engkau menciptaku dengan Tangan-Mu?” Allah berfirman: ‘Ya.’ Adam bertanya: ‘Tidakkah Engkau tiupkan padaku daripada Roh-Mu?’ Firman Allah: ‘Ya.’ Adam bertanya lagi: ‘Tidakkah Rahmat-Mu kepadaku mendahului Kemurkaan-Mu?’ Firman Allah: ‘Ya.’ Lantas Adam berkata: ‘Hai Tuhanku, jika aku bertaubat dan melakukan keelokan, adakah Engkau kembalikan aku ke syurga?’ Firman Allah: ‘Ya.’ Inilah yang dihikayatkan oleh as-Suddi oleh Ibn Abbas.
Ketiga, bahawa ia berdoa dengan zikir yang tertentu seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir daripada Mujahid. Ketiga-tiga pendapat ini dinyatakan dalam kitab tafsirnya, an-Nukat Wa al-`Uyun.
Keempat, Imam as-Syaukani di dalam tafsirnya, al-Fath al-Qadir, menyebut riwayat daripada Ibn Abbas tentang ‘kalimat’, jawabnya ilmu berhubung dengan haji. ‘Lalu Allah menerima taubatnya’. Ini kerana Allah bersifat dengan sifat ‘Dialah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani’, iaitu sesungguhnya Allah amat banyak menerima taubat dan luas rahmat-Nya pada sekalian hamba. Al-Imam an-Nasafi berkata, “Iaitu Allah banyak menerima taubat hamba-Nya di samping mengasihani terhadap sekalian hamba-Nya.”
|