|
Tak mengaku rogol kekasih
mohd.zulkifli@bh.com.my
KOTA BHARU: Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur, yang juga kekasihnya, bulan lalu.
Muhamad Iman Hussien, 20, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail di Mahkamah Sesyen, di sini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kekasihnya berusia 13 tahun di dalam bilik sebuah rumah tidak bernombor, di belakang Restoran Kak Ros, Jalan Gajah Mati, di sini, jam 6 petang pada 13 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaa,n yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Muhamad Iman memberitahu mahkamah yang dia tidak akan melantik peguam bagi mengendalikan kesnya itu.
Bagaimanapun, Nazri meminta tertuduh memikirkan semula keputusan itu untuk membantu mengendalikan kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Mun, yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian tidak memberi jaminan dan menetapkan 17 Oktober ini untuk tarikh sebutan semula kes. |
|