CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 569|Reply: 3

[Tempatan] Kafirkah saya?'

 Close [Copy link]
Post time 19-9-2017 10:18 AM | Show all posts |Read mode
Saya berasa sedih membaca rencana jawapan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ulasan saya berkenaan PAS. Saya hormati Tuan Ibrahim sebagai satu-satunya pemimpin PAS yang rasional. Tetapi jawapannya tidak sedikit pun menyentuh perkara utama yang dibangkitkan dalam rencana saya.

Sesungguhnya saya tidak marah jika saya dipanggil penyangak, penyamun, diktator dan sebagainya. Saya tidak harap musuh politik saya memanggil saya dengan nama baik. Jika mereka berbuat demikian tentulah sukar bagi mereka menentang saya.

Tetapi yang saya sedih dan marah ialah apabila PAS mengkafirkan saya dan semua orang Melayu yang tidak menyokong PAS. Perbuatan ini dilarang Islam. Dan mereka yang dikafirkan marah dan kecewa didakwa mereka tidak Islam.

Tuan Ibrahim tidak menyentuh perkara ini sama sekali. Sebaliknya Tuan Ibrahim hanya melempar pelbagai kata kesat kepada saya. Ini bermakna Tuan Ibrahim bersetuju dengan dakwaan PAS bahawa saya dan orang Melayu lain yang tidak menyertai PAS adalah kafir.

Yang tidak menyertai PAS ini ramai. Raja-raja kita pun tidak menyertai PAS. Sudah tentu orang Islam yang seramai 1.7 bilion diseluruh dunia - mengikut dakwaan PAS - adalah kafir.

Pengkafiran inilah yang memecah-belahkan orang Melayu Islam yang semua percaya dan mengikut amalan agama Islam yang sama dan mengucap dua kalimah syahadah, berada dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam kepada Imam Syafie.

Yang saya katakan ialah, sebelum adanya PAS tidak ada perpecahan disebabkan kelainan agama di kalangan orang Melayu Islam. Hanya apabila PAS ditubuh dan mengkafirkan orang yang tidak menyertai parti politik PAS, barulah orang Melayu Islam berpecah sehingga tidak terima nikah ibu bapa, bersembahyang dua imam, kuburan berasingan dan bermusuh ketat antara orang PAS dengan orang bukan PAS.

Cuma bahasa Arab

Kenyataan saya ini tidak boleh dipertikai oleh sesiapa. Bolehkah Tuan Ibrahim nafi perpecahan ini berlaku? Dan ianya berlaku kerana PAS menidakkan Islamnya orang Umno dan juga orang lain yang tidak menyertai PAS.

Saya berada di zaman sebelum PAS ditubuh. Ada kaum muda dan kaum tua. Tetapi tidak ada perpecahan antara orang Melayu kerana agama. Sudah tentu tidak ada sembahyang dua imam, perkuburan berasingan dan lain-lain.

Soal mengkafir ini hanya berlaku apabila PAS ditubuh dan PAS kafirkan orang Umno terutamanya kerana Umno bekerjasama politik dengan orang bukan Islam.

Kemudian PAS bekerjasama dengan DAP. Tetapi PAS dakwa ini tidak menjadikan PAS kafir. Kerjasama PAS diberi nama “tahaluf siyasi” perkataan Arab yang bermakna “kerjasama politik”. Hanya dengan mengguna bahasa Arab tidak menjadikan perbuatan PAS itu Islam.

Oleh kerana Tuan Ibrahim tidak menyentuh soal mengkafir orang yang bukan ahli PAS, di bawah ini saya kemukakan soalan-soalan berkenaan perkara ini supaya Yang Berbahagia Tuan Ibrahim dapat faham kandungan utama rencana saya.

Apakah Tuan Ibrahim percaya bahawa sesiapa yang tidak menyertai PAS tidak Islam?
Apakah orang Melayu kafir sebelum adanya PAS?
Apakah ibu bapa orang PAS kafir kerana dilahir sebelum adanya PAS?
Apakah PAS tidak kafir apabila bekerjasama politik dengan DAP?
Mengikut PAS, Umno kafir. Jika PAS bekerjasama dengan Umno apakah PAS menjadi kafir?
Amanat Hadi dakwa pemerintahan Malaysia kafir dan melawan dengannya adalah jihad, dan kematian dalam perlawanan ini menjadikan si mati syahid. Apakah Tuan Ibrahim terima dakwaan dalam amanat Hadi?
Jika pemerintahan yang didirikan oleh Umno dahulu kafir, apakah pegawai-pegawainya, termasuk mufti dan orang-orang yang dipimpin dan dinasihat oleh mereka kafir?
Apakah Tuan Ibrahim percaya 14 pengikut Ibrahim Libya mati syahid dah empat orang polis mati sebagai orang kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir?
Soal saya dalam rencana ini jelas. Memaki saya, iaitu saya ini perompak dan penyamun, mencerita berkenaan kezaliman saya dan bermacam lagi tidak sedikit pun menimbul kemarahan saya.

Mufti, raja macam mana

Memanglah musuh saya tidak akan memuji saya. Membuat tuduhan yang tidak berasas memang cara musuh untuk menang dalam pilihan raya.

Tetapi mengkafirkan saya, ia tidak boleh saya terima. Ia dilarang oleh Islam, dilarang dalam al-Quran. Ia berdosa dan orang yang mengkafirkan orang Islam, akan mendapati dakwaan mereka akan kembali kepada mereka. Ini yang dijanji dalam al-Quran.

Tidak perlu dakwa saya tidak berbahasa Arab. Tidak perlu kata saya bukan orang agama, tidak berijazah dalam agama Islam.

Tetapi soalnya, apakah orang yang terpelajar dalam Islam seperti Tuan Ibrahim, orang yang mendakwa diri mereka ulama, apakah mereka terima dakwaan PAS bahawa orang yang tidak menyertai PAS menjadi kafir?

Jika mereka terima maka bukan sahaja orang Umno - dan sekarang ini orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia - yang kafir. Mufti-mufti kerajaan dan raja-raja Melayu turut jadi kafir.

Jika tidak PAS, Tuan Ibrahim sendiri boleh buat kenyataan bahawa dalam dunia ini hanya mereka yang menyertai PAS sahaja yang beragama Islam.
Apabila seseorang memasuki agama Islam, maka ia mesti sebut keahliannya dalam PAS sebelum ia diterima memeluk agama Islam.

Tak usah lari daripada soal pengkafiran ini. Jelaskan dengan tegas benar atau tidak, orang yang tidak menyertai PAS kafir
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-9-2017 12:05 PM | Show all posts
Statement asal dari Ust Tuan Ibrahim..


JAWAPAN TIM PRESIDEN PAS KEPADA TUN M

Salam berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad,

PAS melihat Umno sebagai perompak dan penyamun sudah berdekad-dekad lamanya.

Untuk makluman Tun, Umno dilihat sebagai perompak dan penyamun ini bukankah baru sekarang. Dari dulu lagi PAS berlawan kerana pelbagai kerosakan yang dilakukan oleh Umno-BN di negara ini.

Malah, di zaman Tun, Umno sudahpun menjadi perompak dan penyamun, cuma Tun tidak sedar. Sesiapa yang mempertikaikannya perlu berdepan dengan senjata yang bernama ISA yang sedia digunakan Tun dengan sewenang-wenangnya. Malah sehingga hari ini, semua rakyat masih melawan sistem yang ditinggal Tun termasuk Tun sendiri.

Ketika Tun menjadi Perdana Menteri, pembangkanglah paling hebat ditekan, ditindas sehingga pelbagai tragedi berlaku. Royalti minyak Kelantan tidak diberi, malah royalti minyak Terengganu dijadikan wang ehsan sejurus PAS mengalahkan Umno di Terengganu.

Di zaman Tun, semua timbalan Tun yang Tun rasa tak sesuai dipecat dengan pelbagai tuduhan. Sebahagian mereka kerana menentang rasuah, salahguna kuasa dan kronisme yang berlaku di waktu itu. Kini istilah itu bertukar kepada kleptokrasi. Gunalah apa istilah sekalipun hakikatnya penyelewengan terus berleluasa. Ia menjadi budaya di dalam Umno yang kekal sehingga hari ini sehinggalah Tun sendiri pun terasa meluat melihatnya.

Di bawah PM Datuk Seri Najib Razak, Umno-BN hampir tumbang di PRU13.

Rakyat mempunyai peluang keemasan untuk menumbangkan BN bersama Pakatan Rakyat di PRU13, tapi ketika itu Tun memilih bersama Umno melalui Perkasa untuk mengekalkan kekuasaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga BN.

BN kekal berkuasa sehingga hari ini adalah disebabkan Tun dan juga sistem yang berat sebelah yang dikekalkan oleh Tun. Umno yang ada hari ini adalah hasil didik Tun.

Sudah berdekad-dekad lamanya sejak Merdeka. PAS melawan Umno. Di zaman Tun, kamilah yang lawan Tun. Ketika Tun memilih Tun Abdullah Badawi sebagai PM, kami tetap melawan Umno dan terus melawan Umno meskipun kami hampir kehilangan segalanya. Ketika Tun memilih Najib menjadi PM, kami membantah dan terus melawan Umno sehingga hari ini.

Malah susah dinafikan bahawa PAS adalah pembangkang utama kepada Umno sejak sebelum Merdeka sehingga kini. PAS merupakan parti yang terus berkembang dengan keahlian hampir sejuta, dengan hampir lapan ribu cawangan dan 195 kawasan seluruh negara.

Kini baru dua tahun Tun menjadi pembangkang, Tun baru terasa peritnya menjadi pembangkang. Hari ini, Tun mahu menurunkan Najib sebagai PM setelah menyedari kerosakan yang ada. Malah, Tun bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PM ke 8. Alangkah baiknya kalau Tun sedar 20 tahun lebih awal, bukankah Anwar kini sudah menjadi PM, Najib tidak menjadi PM, keluarga Datuk Seri Anwar tidak perlu melalui keperitan yang berlanjutan sehingga hari ini dan rakyat tidak perlu bersusah-payah bergelut hari ini di bawah kerosakan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN pilihan Tun?

Bagi PAS, menurunkan Najib sahaja tidak cukup. Selama ini, kami menentang agar rakyat bangkit menukarkan Umno-BN dan menggantikannya dengan parti yang akan menukar sistem yang korup dan rasuah dengan dasar Islam yang diturunkan Allah untuk keselamatan negara dan rakyat yang berbilang kaum ini.

Hari ini, Tun menuduh PAS kononnya menyokong Umno kerana kecewa apabila PAS tidak mahu bersama dalam Pakatan Harapan. Kerana itu PAS dituduh, difitnah dan diserang.

Biasa PAS diserang oleh Umno, nampaknya kini bertambah satu lagi kumpulan yang bersama Umno menyerang PAS. Namun, PAS tidak gentar. Serangan-serangan ini menunjukkan betapa paniknya Tun dan PH pada kebangkitan kepada sokongan PAS ketika ini.

PAS akan terus melawan Umno di PRU14 seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu. Suka hatilah siapa yang ingin masuk gelanggang di kerusi-kerusi tradisi PAS untuk menjadikan ia peperangan tiga penjuru, itu hak demokrasi masing-masing.

Perjuangan PAS tidak pernah berubah. PAS meletakkan Islam di tangga teratas di dalam perjuangannya kerana ia agama yang lengkap, adil dan sempurna. Kami tidak menerima Islam hanya sekadar ibadah dan aqidah kerana Allah memerintahkan kita menganut Islam seluruhnya.

Kalau nak dituduh PAS perosak, lihatlah cermin dahulu siapa yang konsisten, siapa yang sentiasa U-turn.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 September 2017
Reply

Use magic Report

Post time 19-9-2017 12:06 PM | Show all posts
kesian islam di meleisia
ditunggang so called muslim
Reply

Use magic Report

Post time 19-9-2017 09:14 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 01:31 PM GMT+8 , Processed in 0.251961 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list