Seorang lelaki diburu polis selepas menikam bapa saudaranya sehingga maut di kediaman mangsa di tingkat 12 sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 Kota Damansara, Petaling Jaya, petang semalam.
Memetik Harian Metro, dalam kejadian 4 petang itu, berlaku pergaduhan antara mangsa yang merupakan pengawal keselamatan dan suspek yang berusia lingkungan 30-an di rumah berkenaan, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.
Foto: BH Online/Okezone News
"Berdasarkan keterangan saksi iaitu kakak mangsa yang berada di dalam rumah berkenaan, suspek menikam mangsa di bahagian perut menggunakan pisau beberapa kali sebelum melarikan diri.
"Jiran mangsa yang menyedari kejadian itu membantu menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 5.15 petang di Unit Kecemasan hospital berkenaan akibat parah di perut.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha memburu suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah agensi kerajaan sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - CARI |