|
MB Kedah diminta jelaskan dana negeri untuk Umno
Surat tuntutan hari ini dihantar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memintanya menjelaskan dakwaan penyaluran dana kerajaan negeri ke pejabat sebuah cawangan Umno di negeri itu.
Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung menghantar notis itu bagi pihak Teoh Boon Kok, ADUN Kota Darulaman, yang mendakwa peruntukan sehingga RM40,500 untuk kawasannya telah diselewengkan.
"Jumlah itu termasuk RM20,000 yang digunakan untuk sewa pejabat cawangan Umno di Kota Darulaman, RM17,000 untuk aktiviti yang menurut Teoh tidak pernah diterimanya, dan RM3,500 lagi untuk membeli walkie-talkie untuk pejabat Umno, yang juga langsung tidak diketahui oleh Teoh,” dakwa Gooi.
Teoh membangkitkan isu peruntukan pada sesi dewan undangan negeri Kedah pada Ogos lalu.
Dalam jawapan bertulis, kerajaan negeri berkata RM100,000 telah diagihkan kepada setiap kawasan DUN - termasuk Kota Darulaman - tetapi wang itu dipegang oleh anggota exco kerajaan negeri Datuk Badrul Hisham Hashim.
"Jelas sekali, kawasan yang dimenangi oleh pembangkang masih menerima peruntukan, tetapi malangnya peruntukan itu tidak diserahkan atau diuruskan oleh ADUN tetapi oleh penyelaras Umno.
"Melalui jawapan kepada Teoh dalam sidang DUN lalu bahawa dana awam disalahgunakan dan diselewengkan untuk pejabat cawangan Umno di Kota Darulaman," kata Gooi.
|
|