12 rumah ranap akibat tanah runtuh
bhnews@bh.com.my
KOTA KINABALU: Kira-kira 50 penghuni terjejas selepas 12 rumah papan di Skim Penempatan Telipok di pinggir bandar raya ini ranap berikutan tanah runtuh, tengah hari tadi.
Kejadian jam 12.45 tengah hari, dipercayai akibat mendapan tanah susulan hujan lebat di pantai barat Sabah sejak beberapa hari lalu.
© Provided by Media Prima KEADAAN tanah runtuh di kawasan seluas 0.4 hektar di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu yang mengakibatkan 12 rumah ranap. - Foto ihsan bomba
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Katizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.52 tengah hari sebelum menghantar lapan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.
"Tanah runtuh di Skim Penempatan Telipok menyebabkan 12 rumah terjejas dengan anggaran keluasan keseluruhan kawasan terbabit ialah 0.4 hektar.
"Pasukan Bomba telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan lokasi bersama pasukan penyelamat yang lain dan tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Setakat jam 5 petang tadi, lima kes tanah runtuh diterima bomba iaitu tiga di Kota Kinabalu serta masing-masing satu di Penampang dan satu di Tuaran, manakala 29 kes pokok tumbang direkodkan seluruh negeri.
© New Straits Times Press (M) Bhd
|