CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2590|Reply: 1

Besut – Tokwan Pa simpan memori Jerteh . Siapa masih ingat ?

[Copy link]
Post time 1-11-2017 03:27 PM | Show all posts |Read mode




BESUT 29 April – Sekeping gambar sama ada yang dihasilkan menerusi bakat seni lukis atau yang dirakam mengunakan kamera bukan sahaja mempunyai ceritanya tersendiri malah berbeza pula tujuannya.


Biasanya hasil lukisan atau gambar itu hanya akan menjadi sesuatu yang berharga dan dicari-cari apabila telah lama berlalu dan peristiwa itu mahu dikenang kembali kerana mempunyai kepentingan tertentu.


Dalam pada itu, banyak juga lukisan atau gambar tersebut tiada sesiapa yang ingin mengetahuinya kerana mungkin tiada sebab penting atau masih banyak perkara lain yang dikejar dalam suasana dunia hari ini.


Namun begitu, bagi Wan Mustafa Wan Jusoh, 86, koleksi gambar yang dirakam sekitar 1950an dan 1960an masih tersimpan rapi dan menjadi kenangan yang berharga buatnya.


Sebelum merdeka, Jerteh lebih terkenal di kalangan orang luar Terengganu kerana menjadi penghubung Kelantan ketika itu menerusi perkhidmatan feri sebelum jambatan dibina.


Perkhidmatan feri di Sungai Besut ketika itu bukan sahaja merupakan nadi kepada aktiviti kehidupan seharian penduduk Besut malah penyumbang kepada pembangunan.


Setelah jambatan dibina, perkhidmatan feri dihentikan dan sekali lagi Jerteh dikenali kerana menjadi tempat persinggahan kerana jambatan tidak dapat dilalui akibat dilanda banjir semasa musim tengkujuh.


Koleksi gambar milik beliau banyak merakamkan mengenai Jerteh yang unik kerana menjadi pilihan pemimpin negara ketika itu bagi mengadakan pelbagai program selain berjumpa dengan rakyat.


Tidak terkecuali gambar pemimpin negara terdahulu seperti Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn serta pemimpin lain seperti Tun Sardon Jubir turut dirakamkan.


Terdapat juga gambar tokoh termasuk pemimpin politik tempatan yang banyak berjasa kepada pembangunan Besut sendiri khususnya Jerteh serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan ketika itu.


Perisytiharan tamat darurat, kemerdekaan negara dan peristiwa penting yang berlaku di Jerteh dan Besut ketika itu menjadi koleksi kebanggaan Tok Wan Pa yang pernah memilik tiga buah kamera yang kini masih disimpan.


Kerana minatnya itu, Tok Wan Pa berusaha membeli sendiri peralatan memproses gambar dan ada kalanya terpaksa dihantar ke Kota Bharu, Kelantan apabila memerlukan saiz gambar yang lebih besar.


L.M. Edye, pegawai British yang menjadi Pegawai Daerah Besut pertama mengisytiharkan tamatnya darurat pada tahun 1966.

Baginya, dengan memiliki sebuah kamera dia seolah-olah memiliki ‘lesen’ untuk menghadiri sesuatu majlis ditambah dengan jawatan dalam parti yang disandang olehnya ketika itu.

“Oleh sebab hanya saya seorang yang memiliki kamera, maka sayalah yang sering disuruh mengambil gambar pada sesuatu majlis itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Jerteh dekat sini.

Walaupun hanya dalam bentuk gambar hitam putih, namun bagi Tok Wan Pa, ia cukup berharga dan mengembalikan nostalgianya dan ada kalanya pula membangkitkan rasa sedih dan sayu apabila teringat kisah-kisah silam itu.

“Peristiwa-peristiwa penting seperti kedatangan Jepun ke Tanah Melayu, darurat serta kemerdekaan sepatutnya dihayati oleh golongan muda hari ini supaya mereka tahu pahit getir yang ditempuh oleh generasi terdahulu.

“Ini patutnya menjadi sejarah yang wajib dipelajari dan menjadi panduan kepada generasi yang bakal meneruskan kepimpinan negara pada masa depan supaya mereka faham dan sedar ‘di mana bumi dipijak dan langit dijunjung, “katanya.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, semasa usia muda, bapanya, Wan Jusoh Wan Teh tidak membenarkan dirinya bekerja di luar daerah kerana mahu dia yang merupakan anak tunggal tinggal bersama keluarga.

Ekoran itu, Tok Wan Pa banyak melibatkan diri dan menghabiskan masa mudanya dalam aktiviti sukarela selain politik dan dia bukan sahaja berasa bangga malah tidak kekok dapat memberikan khidmat seperti itu.

Tok Wan Pa juga masih menyimpan surat pelantikan sebagai Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) selama tempoh tiga tahun yang ditandatangani oleh Sultan Terengganu ketika itu dan banyak lagi surat lain yang mempunyai nilai sejarah.

Selain itu, beliau juga pernah melibatkan diri sebagai Ahli Majlis Bandaran, Ahli Jawatankuasa UMNO Jerteh serta lain-lain badan sukarela yang banyak memberinya peluang bergaul dengan ramai orang

Dia masih ingat tentera Jepun pernah bermalam selama lebih seminggu di rumahnya untuk menunggu giliran menyeberang Sungai Besut untuk ke Singapura yang ketika itu hanya boleh diseberangi menggunakan feri.

Namun daripada kira-kira 50 keping gambar berharga yang dirakamkan itu, kini hanya tinggal kira-kira 20 keping sahaja kerana banyak yang sudah rosak.

Tok Wan Pa juga mengakui banyak gambar koleksinya hilang dan tidak dapat ditemui kerana sama ada dia terlupa tempat disimpannya ekoran keuzurannya.

Tambahan pula, katanya, penglihatannya sudah kurang baik dan memaksanya menggunakan alat kanta pembesar untuk menerangkan peristiwa berkaitan gambar yang pernah dirakamkan itu.

Kini dia tinggal bersama anak ketiganya, Nik Hussin di rumah peninggalan arwah bapanya di Kampung Seberang Jerteh berhampiran Sungai Besut sambil menghabiskan sisa-sisa hidupnya.



Sumber : utusan



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 1-11-2017 04:57 PM | Show all posts
orang zaman dulu dah pandai guna filter insta.. tapi tak de lah jadi InstaBatak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 12:07 PM GMT+8 , Processed in 0.446160 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list