Edited by NormanJB at 17-11-2017 02:54 PM
Padah melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki, seorang bekas anggota polis bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 jika disabit bersalah, lapor Sarawakvoice.
Memetik portal tersebut, tertuduh Fazlie Zainuddin, 33, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak semalam terhadap dua pertuduhan, yang masing-masing dilakukan pada 4 September lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal itu melakukan perbuatan terkutuk terhadap remaja berusia 14 tahun, yang merupakan adik lelaki angkatnya sekitar jam 2 hingga 3 petang di pos kawalan IPK Sarawak, 4 September lalu.
Untuk tuduhan pertama, tertuduh dituduh menyentuh dada mangsa di lokasi berkenaan.
Tertuduh kemudian mengulangi perbuatannya sekitar jam 3 hingga 4 petang hari sama berhampiran loji Paragon di Jalan Batu Kawa, atas tuduhan menghisap puting mangsa. Bagaimanapun, tertuduh mengaku gila selepas pertuduhan ke atasnya dibaca untuk kali kedua oleh jurubahasa mahkamah.
Mendengar pengakuan tertuduh, hakim Dayang Ellyn Narisa mengarahkan tertuduh menjalani pemantauan psikiatri di Hospital Kota Sentosa selama sebulan bermula semalam. Hukuman terhadap tertuduh juga ditangguhkan pada 15 Disember ini, lapor portal tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah atas kesalahan pemalsuan dokumen pada 21 September lalu.
|