|
MELAKA: Seorang lagi lelaki direman 7 hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan skim baja padi bernilai kira-kira RM2.54 juta.
Bernama melaporkan tempoh reman sehingga 28 November ke atas lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini.
Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atasnya mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Semalam, seorang pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melaka dilaporkan direman 6 hari bagi kes sama.
Penahanan pesawah itu dibuat untuk siasatan kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai kira-kira RM2.54 juta melibatkan 56,700 kampit baja sejak awal tahun lepas.
Dalam pada itu, sumber SPRM memaklumkan pesawah itu ditahan di pejabat SPRM Melaka pada 8.30 malam Selasa, selepas dia hadir untuk memberi keterangan.
Katanya, suspek bersama pengurus projek terbabit mengusahakan projek penanaman padi seluas 55 ekar (22.2 hektar) yang dipajak di Merlimau.
Sumber itu berkata, SPRM turut menyita sebuah kereta mewah jenis Audi A4 yang dipercayai dibeli menggunakan hasil jualan baja. |
|