Kendong anak, tembak penyamun
https://www.hmetro.com.my/global/2017/11/286737/kendong-anak-tembak-penyamun-video
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:41 PM
Agensi
PETIKAN rakaman CCTV menunjukkan Souza menembak ke arah penyamun sambil mendukung anak. FOTO You Tube Radio Acesa
ANGGOTA polis tentera yang tidak bertugas menembak mati dua penyamun bersenjata sambil mengelek anaknya di kedai berhampiran Sao Paulo, Brazil, Sabtu lalu.
Ketika kejadian itu, Sarjan Rafael Souza berada di kedai ubat yang terletak 40 kilometer dari Sao Paulo bersama isteri dan anaknya untuk membeli ubat, lapor Radio Acesa.
Ketika pekerja kedai melayan isterinya, dua suspek memasuki kedai, mengumumkan niat merompak kedai sebelum mengacu senjata ke arah Souza.
Menurut akhbar Estadao, Souza kemudiannya mengeluarkan senjatanya sebelum menembak dan mengejar suspek selama 25 saat.
Sebahagian daripada aksi itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis itu.
Pada satu ketika, Souza menyerahkan anaknya kepada isteri sebelum kembali menembak ke arah suspek.
Kedua-dua suspek berusia 22 tahun dan 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Souza memberitahu penyiasat dia menembak dahulu kerana mempercayai suspek akan mula menembak jika dia memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
|