KUALA LUMPUR 24 Nov 2017 – KerajaanArab Saudi tidak mengizinkan jemaah haji dan umrah bergambar termasuk mengambil selfie atau swafoto di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi demi memelihara kesucian dua masjid suci di Mekah dan Madinah itu dan menghormati jemaah lain yang beribadat.
Larangan itu dikeluarkan dalam pekeliling Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, dan diedarkan kepada semua negara melalui nota diplomatik bertarikh 12 November 2017.
“Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan larangan pengambilan gambar di dalam dua masjid suci dan serambinya dengan menggunakan (apa juga jenis kamera),” kata kenyataan itu, yang dilihat oleh portal berita The Malaysian Insight.
Jemaah yang melanggar larangan itu berdepan tindakan dirampas kamera mereka, jika perlu, tambah kenyataan itu.
Surat itu dikeluarkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Saleh Benten turut dilaporkan beberapa media di Indonesia hari ini.
Pekeliling itu dikeluarkan bagi membolehkan pengendali haji dan umrah di seluruh dunia memaklumkan larangan tersebut kepada jemaah masing-masing.
Arab Saudi dipercayai mengeluarkan larangan bergambar tersebut selepas terdapat jemaah yang menaikkan bendera negara mereka dan bergambar di koridor Masjidil Haram Mekah, dengan alasan sebagai kenang-kenangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir dilaporkan TMI berkata, belum mendapat sebarang maklumat dan akan merujuk pegawainya terlebih dahulu namun beliau menyokong larangan tersebut kerana perbuatan mengambil gambar termasuk ‘selfie’ menggangu ibadah haji dan umrah. – MRM
|