Edited by EJALTI at 12-12-2017 06:10 AM
Pegawai imigresen kena tahan
https://www.hmetro.com.my/utama/2017/12/293056/pegawai-imigresen-kena-tahan
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 1:02 PM
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my
Mustafar sudah mengadakan perbincangan mengenai isu pembolosan warga asing itu bersama Ketua Polis Negara.
JABATAN Imigresen sudah menahan pegawainya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan isu bolos membabitkan warga Bangladesh didedahkan Harian Metro, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali enggan mendedahkan bilangan pegawai yang ditahan serta membincangkan secara lanjut perkara berkenaan.
"Apa yang pasti tindakan sudah diambil dengan penahanan pegawai terbabit dan mereka masih ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Jika terbukti mereka terbabit dalam sebarang pelanggaran integriti, tindakan tegas dikenakan termasuk buang kerja bergantung kepada sejauh mana pembabitan mereka dalam perkara ini," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.
Mustafar berkata, beliau sudah berbincang bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, semalam, berhubung pendedahan yang dibuat Harian Metro dan tindakan lanjut juga dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Jabatan Imigresen mengambil tindakan dalaman namun kita tidak mahu mendedahkannya secara spesifik," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, satu pasukan khas sudah dihantar ke Bangladesh, Ahad lalu, bagi melakukan tindakan semakan tertentu.
"Apabila dikatakan ada pembolosan ini, dalang di luar melakukannya untuk mengaut keuntungan dan imbuhan manakala dalang di dalam, pasti kita ambil tindakan.
"Justeru, beberapa tindakan semakan yang memerlukan penelitian lanjut dibuat (di KLIA) malah tindakan bersama PDRM akan diteruskan," katanya.
Khamis lalu, Harian Metro mendedahkan buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari dengan diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Dhaka, Bangladesh selain di ibu kota.
Sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat laba RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang termasuk wang 'pelincir' kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.
|