Dr M akan dipanggil berhubung isu Bugis - IGP
https://www.malaysiakini.com/news/405269
Hari ini, 10:10 am Hari ini, 10:37 am
Polis akan memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merekodkan keterangan berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina masyarakat Bugis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Ini bergantung kepada keperluan pegawai siasatan tapi kita pasti akan panggil (Dr Mahathir). Kalau saya kata dalam masa terdekat ni, anda perlu beri kami masa. Kita akan selesaikan dalam tempoh masa secepat mungkin," katanya Fuzi yang dipetik oleh Bernama sebagai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia ke-29, di Butterworth semalam.
Dr Mahathir ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Oktober lepas dikatakan cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.
Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan mendakwa bahawa kenyataannya itu ditujukan kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”, dan bukannya keseluruhan masyarakat tersebut.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga dilaporkan telah menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap etnik Bugis yang merupakan susur galur Kesultanan Selangor.
Dalam pada itu, berhubung kenyataan yang dibuat anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, yang dianggap banyak pihak sebagai mempunyai unsur hasutan, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan memanggil Zaid untuk diambil keterangan hari ini.
Beliau berkata dua laporan polis diterima berhubung kes itu yang disiasat menurut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Menurut laporan, melalui akaun Twitternya pada 5 Disember lepas, Zaid antara lain mempertikai kritikan Sultan Selangor terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya tentang masyarakat Bugis.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an membabitkan Dr Mahathir, Mohamad Fuzi berkata pasukan khas sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.
"Siasatan sedang berjalan, tidak mudah. Banyak orang akan dipanggil untuk menyiapkan siasatan.
“Selepas laporan polis dibuat kami telah membentuk pasukan petugas. Pasukan itu bekerja 24 jam bagi mendapatkan apa jua kenyataan dan apa jua yang perlu dilakukan, dengan secepat mungkin. Ini hal yang sedang berjalan,” katanya.
- Bernama
|