KUALA SELANGOR: Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) ditahan awal pagi tadi di Kepong bagi membantu siasatan kes bunuh dan bakar empat sekeluarga, di Tanjung Sepat, pagi kelmarin.
Lelaki berusia 38 tahun, yang juga teman lelaki kepada anak bongsu mangsa, ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Pusat Keong pada jam 1 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan awal mendapati suspek yang mengalami cacat pendengaran dan pertuturan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong.
"Siasatan mendapati suspek adalah teman lelaki kepada anak bongsu mangsa berusia 30 tahun.
"Dipercayai suspek bertindak sendirian dalam kejadian ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, hari ini.
Mazlan berkata, pada masa ini, polis percaya masalah kewangan menjadi motif kejadian berkenaan.
"Kita percaya suspek mempunyai hutang sehingga dipercayai mendorongnya melakukan perbuatan khianat itu.
"Sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan di rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat," katanya.
Mazlan berkata, selepas kejadian, suspek yang mengalami kecederaan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.
Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mazlan berkata, pihaknya percaya kes itu selesai dengan penahanan suspek.
Beliau berkata, pihaknya juga masih menunggu laporan rasmi proses bedah siasat daripada Hospital Banting.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi Rabu lalu, satu keluarga membabitkan dua warga emas dan dua kanak-kanak maut dipercayai dibunuh dan dibakar.
Mangsa adalah Lim Mai Shak, 68; Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga tahun dan 10 tahun.
Difahamkan, seorang cucu mangsa berusia 12 tahun, yang juga abang kepada Ryan Chia terselamat kerana menyorok di dalam bilik air sebelum meloloskan diri ke luar rumah.
Terdahulu, Mazlan menyaksikan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor antara Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Abdul Wahab, yang kini memangku jawatan Ketua Polis Daerah menggantikan Superintendan Ruslan Abdullah yang bersara wajib.
Sumber: Berita Harian/15/12/2017