Garret Dawum
am@hmetro.com.my
Ampang: Kehidupan hariannya banyak dihabiskan di atas tilam lusuh yang terletak di satu sudut rumahnya selepas seluruh anggota badan semakin lemah.
Sudut itu juga menjadi tempat santai untuknya termasuk makan, minum dan menonton televisyen.
Ketika ditemui, Hamimah Ali, 58, yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak lagi mampu bergerak dan hanya baring 24 jam.
“Beginilah keadaan saya setiap hari. Baring dan tidak boleh bergerak. Dulu saya boleh lagi bergerak dengan mengengsot jika mahu ke tandas.
“Namun apabila anggota badan sudah sakit dan tidak berdaya, semua benda saya tidak boleh buat,” katanya di rumahnya di Kampung Melayu Tambahan, di sini, semalam.
Paling memeritkannya kematian ayah tiga bulan lalu menambah kesukarannya untuk meneruskan hidup.
“Saya cacat anggota badan sejak kecil dan hanya bergantung kepada ayah serta adik kedua selama ini. Sekarang dugaan semakin bertambah dengan kematian ayah dan adik, tahun lalu.
“Saya seperti hilang semuanya. Tempat untuk saya menumpang kasih sayang juga sudah tiada dan kini hanya ada dua anak saudara yang juga yatim piatu,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.
Katanya, dia juga terpaksa mengikat perut jika kehabisan duit atau makanan.
“Kadang-kadang dua atau tiga hari saya tidak makan. Namun saya tidak kisah kerana sudah biasa begitu.
“Memang saya ada adik-beradik lain tetapi tidak mahu menyusahkan mereka kerana semua sudah berkeluarga,” katanya.
Hamimah berkata, kebimbangannya semakin bertambah apabila bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah ditamatkan selepas adik yang menjaganya meninggal dunia, April tahun lalu.
“Saya tidak tahu ke mana boleh saya pergi untuk meminta bantuan. Status bantuan JKM juga masih tidak diketahui.
“Hanya jiran dan individu tertentu yang mengetahui keadaan saya menjadi tempat untuk bergantung terutama bagi pembelian lampin pakai buang, makanan dan keperluan asas lain seperti beras, garam dan gula,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 5:18 A