Paderi dipenjara salah laku seksual
22 Februari 2018 10:45 PM [url=]
[/url]
BERLIN 22 Feb. - Seorang bekas paderi Katolik Jerman dihukum penjara lapan tahun setengah atas tuduhan melibatkan lebih 100 kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan kesalahan-kesalahan lain.
Ketua Hakim Mahkamah Deggendorf, Thomas Trautwein berkata, lelaki berusia 53 tahun itu akan menjalani terapi bertahun-tahun di institusi psikiatri tertutup sebelum menjalani hukuman penjara.
“Sama ada tertuduh akan dibebaskan bergantung kepada sama ada dia masih dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat,” katanya. Bekas paderi tersebut sebelum ini pernah dihukum penjara dari 2003 hingga 2009 atas kesalahan jenayah seksual lain. Dia kemudiannya didakwa memperoleh kertas kelayakan gereja untuk bekerja sebagai paderi menggunakan dokumen palsu. Dalam perbicaraan baru-baru ini, tertuduh didapati bersalah kerana salah laku seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki melibatkan 108 kes sejak 1990-an. Tertuduh juga disabitkan dengan perbuatan cubaan rogol seorang gadis berusia 18 tahun serta serangan dan pemilikan bahan pornografi kanak-kanak. Mahkamah diberitahu, kesalahan itu didakwa dilakukan di Mainz dan Deggendorf, Jerman termasuk di Austria, Switzerland, Itali dan Poland. - AFP
|