Edited by roti_banjir at 23-2-2018 11:51 AM
Bandar Seri Jempol: Generasi kedua FELDA mahu projek Perumahan Generasi Baru FELDA (PGBF) bagi golongan itu disiapkan segera selepas tertangguh beberapa tahun.
Ketua peneroka FELDA Serting Hilir Enam Hassan Yusop berkata, PGBF di tanah rancangannya itu belum dilaksanakan biarpun tapak dan jumlah rumah dibina dimaklumkan kepada penduduk.
Katanya, ia sepatutnya dibina dua tahun lalu membabitkan 200 rumah, namun tidak menjadi kenyataan, malah tapak projek berkenaan kini dipenuhi semak samun.
“Jika sebelum ini ramai menyalahkan pengurusan lama FELDA yang gagal menlaksanakan projek berkenaan, jadi pengurusan baru perlu menyelesaikan masalah ini yang turut dijadikan isu oleh pembangkang.
“Pengurusan FELDA perlu menyelesaikan masalah ini bagi menjamin anak peneroka mempunyai rumah sendiri selain mengelakkan berlaku penghijrahan golongan ini ke bandar,” katanya.
Sementara itu, generasi kedua, Mohammad Yahya Zakaria, 41, dari FELDA Pasoh Dua berkata, kebanyakan generasi kedua yang tinggal di tanah rancangan FELDA ketika ini masih menumpang di rumah ibu bapa biarpun sudah mendirikan rumah tangga.
Katanya, pengumuman kerajaan mengenai pembinaan rumah berkenaan amat mengembirakan golongan itu pada peringkat awal kerana berpeluang memiliki rumah sendiri. “Namun kini ia bagaikan menanti buah yang tidak gugur kerana ada projek berkenaan yang terbengkalai seperti di FELDA Pasoh Dua ini. “Malah, kebanyakan golongan ini bersikap dingin dan memandang sinis terhadap PGBF apabila kerajaan menerusi FELDA memberitahu mahu menyiapkan projek berkenaan dengan segera,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, FELDA diminta menyelesaikan segera isu berkenaan yang dianggapkan merimaskan generasi kedua FELDA.
Menurutnya, ada rumah yang disiapkan sejak setahun lalu seperti di FELDA Pasoh Satu tetapi sehingga hari ini belum diserahkan kepada pembeli. |