|
'Sepatutnya ayah nikahkan saya...'
SEREMBAN: "Sepatutnya ayah menikahkan saya esok (hari ini), namun tidak kesampaian kerana Allah telah menjemputnya terlebih dahulu," kata Nur Faizah M Rosli, 30, yang kematian ayah, M Rosli Alias, 54, semalam akibat serangan jantung.
Nur Faizah, anak sulung daripada enam beradik berkata, ayahnya sudah merancang untuk menikahkannya sendiri dengan bakal suami, Muhamad Ridzuan Mohd Sidek, 30, sejak tahun lalu, namun hasrat itu tidak sempat ditunaikan Allahyarham.
Beliau berkata, ayahnya yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Seremban disahkan menghidap sakit jantung sejak Oktober tahun lalu, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, minggu lalu berikutan keadaan kesihatannya yang merosot.
"Semasa ayah membuat rawatan susulan di IJN Selasa lalu, doktor menasihatkan ayah ditahan wad untuk rawatan lanjut.
"Semalam (kelmarin) kesihatan ayah kelihatan semakin baik dan dia sepatutnya pulang pagi tadi (semalam) untuk membuat persediaan bagi menikahkan saya. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.
"Walaupun dia pergi sehari sebelum hari pernikahan saya, kami sekeluarga reda dengan takdir Allah," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Makam Tuan Haji Said, Sikamat, di sini, malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia pada jam 11.50 pagi semalam, di sisi isterinya, Roslinda Abdullah, 48.
Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di rumahnya di Taman Panchor Jaya pada jam 7 malam dan kemudian disembahyangkan di Masjid Taman Panchor Jaya, di sini, dengan diimamkan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza.
Nur Faizah berkata, majlis pernikahannya akan tetap dilangsungkan hari ini dengan sederhana dan akan turut dilangsungkan bersama majlis tahlil serta kenduri arwah.
"Buat masa ini, kemungkinan saya akan dinikahkan oleh adik, Khairil Aziz M Rosli, 25 di rumah lepas Asar (hari ini)," katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban, Datuk Samsiah Samsudin, berkata kali terakhir beliau bertemu arwah pada Isnin lalu ketika mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Seremban.
"Pada hari itu, arwah kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Arwah seorang yang perahsia, walaupun sakit beliau tidak pernah bercerita dan komited dengan kerjanya.
"Kehilangan arwah sangat dirasai kerana beliau seorang yang baik dan perama,h selain aktif dengan kerja parti," katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang berusia 11 tahun hingga 30 tahun. |
|