'Melekat' 30 minit di cermin kereta
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/03/322014/melekat-30-minit-di-cermin-kereta
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 12:03 PM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my
KEADAAN mangsa akibat kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
MENGERIKAN apabila mangsa kemalangan ‘melekat’ hampir 30 minit di cermin hadapan kereta selepas kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, penunggang motosikal, Adline Aslin, 20, yang tersepit pada rekahan cermin hadapan kenderaan itu terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba yang dipanggil ke lokasi susulan kemalangan terbabit.
Difahamkan, mangsa dipercayai membuat pusingan U di hadapan bangunan pusat beli belah berhampiran hotel, manakala kereta dari bulatan Wawasan menuju ke Waterfront.
Sebaik tiba di lokasi kemalangan, berlaku pertembungan kedua-dua kenderaan berkenaan menyebabkan mangsa terpelanting dan ‘melekat’ pada hadapan cermin kereta.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan pada 1.50 pagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerah di lokasi yang terletak tiga kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, seorang mangsa parah iaitu penunggang motosikal disyaki terhumban di hadapan cermin kereta akibat impak kemalangan itu.
“Pasukan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan kemudian membuat penstabilan keadaan mangsa dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada ambulans dari Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan,” katanya.
Difahamkan, mangsa patah kaki namun keadaannya stabil.
|