|
TINDAKAN dua gedung tekstil terkemuka di ibu negara yang mengaut untung dengan menjual tudung jenama Ariani tiruan berakhir apabila diserbu pihak berkuasa, Rabu lalu.
Dalam serbuan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas sebanyak 120 helai tudung dengan nilai keseluruhan RM11,542.
Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasanya Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan daripada pemilik jenama yang mengenal pasti kewujudan tudung tiruan dijual di dua gedung itu.
Katanya, bertindak atas aduan itu, KPDNKK Kuala Lumpur menjalankan Ops Hak Cipta yang turut disertai wakil pengadu serentak di dua premis di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Pusat Bandar Wangsa Maju.
“Dalam serbuan itu, kita merampas 71 helai tudung Ariani tiruan bernilai RM5,538 di premis di Pusat Bandar Wangsa Maju.
"Manakala, sebanyak 49 helai tudung Ariani tiruan bernilai RM6,004 dirampas dalam serbuan di lokasi kedua," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Katanya, kedua-dua rampasan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987.
|
|