MACHANG - Dua keluarga membabitkan datuk, nenek dan cucu; ibu dan anak antara 10 yang ditahan dalam Ops Cegah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang diadakan di beberapa kawasan di sini semalam.
Ketua Pegawai AADK Machang, Azahari Abdullah berkata, mereka ditahan di lokasi berasingan, di rumah masing-masing di sekitar Ulu Sat, dekat sini pada operasi yang dilaksanakan selama tujuh jam itu.
Katanya, datuk, nenek dan ibu positif pil kuda manakala cucu dan anak perempuan dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan air ketum.
Tambahnya, Ops Cegah tersebut melibatkan tujuh rumah yang telah dikenalpasti di sekitar Ulu Sat dan berjaya menahan 10 orang yang berumur antara 16 hingga 59 tahun.
"Seramai enam lelaki dan empat perempuan berjaya ditahan pada Ops Cegah yang bermula jam 10 malam hingga 5 pagi itu.
"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan yang melibatkan kawasan sasar dan target berdasarkan maklumat orang ramai dan siasatan anggota penguatkuasa AADK," katanya kepada Sinar Harian.