PENYANYI Zamani Slam menyifatkan dirinya bertuah kerana menjadi penyanyi pertama dipilih menjayakan persembahan diadakan secara atas talian yang boleh diikuti peminat di mana sahaja berada termasuk di luar negara.
Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 47, akan menjayakan Konsert Pentas Maya Bersama Zamani secara langsung (live streaming) menerusi pentasmaya.com anjuran Pentas Maya dengan kerjasama Mobilewerkz Technologies pada 2 Mei ini.
“Saya bersyukur kerana jadi artis pertama terbabit untuk program ini. Bayangkan kita ada ramai lagi artis-artis popular lain dan saya jadi orang pertama, sudah tentu satu penghormatan buat karier seni saya yang sudah lebih 20 tahun.
“Apa dilakukan oleh Pentas Maya dan Mobilewerkz Technologies sesuatu yang bagus kerana dapat memperkenalkan artis kita bukan sahaja dalam negara tetapi juga kepada peminat luar. Ia cara promosi terbaru dan efektif,” katanya.
Showcase Zamani akan diadakan di Warisan Hall Sijangkang di hadapan 200 peminat bermula jam 9 malam sehingga 10 malam pada 2 Mei dan bagi mereka yang jauh, boleh menyaksikannya menerusi pentas.maya.com dengan bayaran akses sebanyak RM30.
“Showcase saya bukan menggunakan minus one, sebaliknya menampilkan pemuzik pengiring yang mantap. Nyanyian dengan iringan pemuzik sangat berbeza daripada menggunakan minus one. Saya akan menyampaikan sebanyak lapan lagu untuk peminat.
“Saya sedar masa yang diperuntukkan agak terhad dan berjanji akan lebih fokus pada persembahan berbanding komunikasi. Lagipun peminat sudah tentunya nak menyaksikan nyanyian saya.
“Biarpun secara maya, aspek kualiti tidak akan dipinggirkan kerana kualiti video dibuat secara definisi tinggi (HD) dan pasti memuaskan hati peminat,” katanya.
Penyanyi yang mempunyai ramai peminat di negara jiran Indonesia, terutama daerah Bandung berharap agar mereka tidak melepaskan peluang menonton showcase ini.
“Saya tahu peminat di sana amat menyukai lagu Gerimis Mengundang dan pastinya saya akan menyanyikan lagu itu buat mereka. Sebagai penyanyi, saya sentiasa bersedia memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Tidak dinafikan perasaan risau itu ada terutamanya membabitkan teknikal sistem audio tetapi kami akan melakukan persiapan awal untuk mengenal pasti kelemahan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Zamani mengakui kempen politik sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) yang sedang hangat berlangsung sekarang sedikit sebanyak mungkin menjejaskan tumpuan peminat terhadap industri seni tempatan.
“Saya akui masyarakat kita sekarang berdepan demam pilihan raya dan mungkin lebih suka mengikuti perkembangan politik berbanding berita artis.
“Untuk itu saya sudah buat teaser promosi berkenaan showcase ini yang dimuat naik di laman sosial Zamani Slam Official Fanpage.
“Selain itu saya percaya Pentas Maya pun ada strategi sendiri bagi mempromosikannya kepada peminat,” katanya.