Bagaimanapun, selepas hampir tujuh jam ditahan, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 40 tahun dilepaskan dan selamat tiba di Jeti Nelayan Pontian, Pontian dekat sini pada pukul 3.30 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang apabila ketiga-tiga nelayan berkenaan sedang menangkap ikan di lokasi 15 batu nautika dari Tanjung Laboh.
Menurutnya, mereka didatangi lima perompak dipercayai warganegara Indonesia yang menaiki sebuah bot sebelum ditahan dan dibawa ke perairan negara jiran.
"Pihak Pangkalan Maritim Batu Pahat telah menerima panggilan daripada mangsa sebelum pihak Maritim Malaysia menggerakkan operasi menyelamat selain turut mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa Indonesia.
"Hasil kerjasama ini, pada pukul 1 pagi, pihak berkuasa telah menerima maklumat daripada pemilik bot bahawa ketiga-tiga nelayan berkenaan telah dilepaskan oleh perompak terbabit dalam keadaan selamat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan di Menara Tabung Haji di sini hari ini.
Menurut Sanifah lagi, kesemua mangsa selamat tiba di Jeti Nelayan Pontian kira-kira pukul 3.30 pagi dan siasatan awal mendapati perompak tersebut meminta wang tebusan sebanyak RM30,000.
"Namun mereka dibebaskan dengan selamat dan tidak melibatkan wang tebusan berikutan perompak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa Indonesia," tambahnya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalagan rompakan berkumpulan bersenjata. - K! ONLINE