Golongan selebriti dan fesyen memang tidak dapat dipisahkan. Tidak hairanlah apa jua yang disarungkan di badan mereka menjadi trend semasa oleh peminat masing-masing. Atas sebab itulah mereka dituntut supaya sentiasa bergaya dan up-to-date dengan stail semasa. Lain pula jadinya apabila fesyen yang sepatutnya diambil inspirasi dari idea sedia ada jika ditiru bulat-bulat. Nabila Razali dan Maria Farida dilihat memakai persalinan yang agak menyerupai satu jenama antarabangsa, tapi sebenarnya direka seorang pereka fesyen terkemuka.
Perkara ini ditimbulkan oleh akaun Instagram pengkritik fesyen, @i_knowfashion. Maria Farida dilihat memakai dress sendat off-shoulder dengan efek rambu ramba ketika pelancaran produknya baru-baru ini. Dress rekaan seorang pereka tempatan itu dilihat mempunyai persamaan dengan dress jenama antarabangsa, Balmain. Apa yang lebih mencurigakan, pakaian rekaan pereka sama yang dipakai Nabila Razali ketika menghadiri satu majlis anugerah juga menyerupai jenama serupa. Dress hitam putih dengan hiasan kerawang dilihat mempunyai persamaan jelas antara satu sama lain.
Menurut pengendali akaun yang tidak dikenali pemiliknya itu, pereka berkenaan sepatutnya meminta pelanggannya membeli terus dari Balmain kerana ianya lebih mudah.
|