Siti Nurhaliza (tengah) bersama dengan barisan model pada pertunjukan fesyen koleksi raya Creacion by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, Ampang petang tadi. - Foto oleh NOORADZRENE MOHAMED NOOR
KUALA LUMPUR- Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan pernah digam atau disekat daripada membuat persembahan di stesen televisyen TV3 sebelum ini.
Siti, 39, berkata, beliau mungkin kurang muncul di saluran tersebut namun tidak timbul isu dia tidak dibenarkan muncul atau membuat persembahan untuk TV3 sebagaimana yang ditulis oleh anak tirinya, Ashraf Datuk Seri Khalid.
“Saya masih muncul untuk program Melodi, contohnya beberapa hari sebelum bersalin. Ia sekali gus membuktikan tiada istilah digam di stesen tersebut. “Apa yang saya faham daripada komen Ashraf ialah saya kurang muncul bukan dihalang terus di TV3,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen koleksi raya Creacion by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, semalam. Tambah pelantun Segala Perasaan itu lagi, beliau tetap memegang amanat arwah bapanya, Tarudin Ismail agar menjadi penyanyi yang menghiburkan rakyat dan bukan sesetengah pihak sahaja. “Saya boleh menyanyi untuk sesiapa dan bukan terbatas kepada pihak kerajaan atau pembangkang sahaja kerana selaku anak seni, muzik itu untuk semua. “Arwah bapa sering menasihati saya tentang perkara itu dan saya pegang sehingga kini,” jelasnya lagi. Terdahulu, timbul khabar angin bahawa Siti selama ini telah digam daripada muncul di TV3 kerana pernah memuat naik gambar bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Khabar tersebut diperkatakan selepas satu pendedahan dilakukan Ashraf dalam ruangan komen di akaun Instagram @syedsaddiq merangkap Ahli Parlimen Muar, Johor minggu lalu. - K! ONLINE
|