CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 5671|Reply: 34

Kedai Kain Bangunan Lama

  [Copy link]
Post time 23-5-2018 03:56 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Tasnim_Halil at 23-5-2018 04:14 PM

KEDAI KAIN BANGUNAN LAMA

Oleh: TASNIM HALIL


LAGI beberapa hari menjelang bulan Syabaan. Pasti ketika ini kaum wanita terutama para ibu semestinya sudah mula memikirkan tentang persiapan untuk menyambut Ramadan. Paling utama sekali persiapan menyambut Syawal yang sememangnya dinantikan oleh sekalian umat Islam saban tahun.

Bagi Salmah, dia tidak mahu mengulangi kesilapan tahun lalu. Baju raya anaknya, Fatimah tak sempat siap lantaran terlambat menghantar tempahan kepada tukang jahit. Terkocoh-kocoh dia dan suaminya, Saad mencari baju siap pada malam raya untuk anaknya. Nasib baik ada baju siap yang sesuai dan boleh tahan cantik. Jika tidak pasti panas telinga mereka menahan rengekan Fatimah yang terkenal dengan sikap mahukan kesempurnaan dalam setiap perkara. Entah perangai siapa diwarisinya. Masing-masing tidak mengaku ada perangai sebegitu.

Duit belanja bulanan yang diberi oleh Saad masih berbaki lagi beberapa ratus. Salmah sudah mula mengira hari dan waktu untuk dia pergi ke pekan bersama suami dan anaknya. Kali ini dia pasti tidak akan terlewat lagi, menurut pemikirannya.

“Assalamualaikum.” Terdengar laungan salam dari luar rumah.

“Waalaikumussalam, bang.Cepat abang balik hari ni? Tak banyak kerja ke kat pejabat tadi?” Salmah menyambut salam dan mencium tangan suaminya yang baru pulang dari tempat kerja.

“A’ah, hari ni kurang sikit benda yang nak kena buat. Bos abang pergi out station ke penang.”

“Oo… macam tu. Takpe, abang duduk dulu saya pergi bancuh kopi untuk abang.”

“Ye lah...” Saad melemparkan senyuman nipis kepada isterinya.

Usai menyinsing lengan baju kemeja putih yang dipakai untuk ke pejabat hari itu, Saad melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan beralaskan kusyen di ruang tamu rumahnya.Terasa kurang lelahnya tatkala belakang badan pula menyentuh empuknya kusyen yang tersandar menutupi kerasnya kerusi rotan tersebut.

“Ahhh, leganya dapat letak badan kat kusyen ni...” Perlahan sahaja perkataan yang keluar dari mulut Saad.

Hampir sahaja matanya terlelap kerana selesanya duduk di kerusi tadi, tapi dia sedikit terganggu dengan bunyi riuh suara budak-budak di bawah rumah. Termasuk juga suara anaknya Fatimah yang bermain dengan kawan-kawan.

Tap tap tap tap...

Tiba-tiba terdengar bunyi tangga terderap seperti ada orang yang sedang berlari memijaknya.

“Ayah!” Fatimah muncul dimuka pintu sambil seraya memanggil ayahnya.

“Anak ayah… mari sini cepat.”

Fatimah terus berlari sambil tersenyum girang.

“Ayah… saaaayang ayah! Ayah baru balik ke? Ada apa-apa tak untuk adik?” Fatimah terus memeluk erat, terzahir rasa kasih yang tak berbelah bahagi terhadap ayahnya.

“Alaaa, ayah lupa tadi nak singgah kedai. Takde apa pun ayah beli.” Saad memberi jawapan selamat sambil mencium ubun-ubun anaknya itu.

“Ayah ni… tak best la.Semalam janji nak belikan adik mainan kat kedai depan tu...”

“Sorry la adik sayang… ayah lupa sangat tadi.”

“Tak mau kawan ngan ayah hari ni, adik nak merajuk...” Fatimah bingkas bangun dan mencekak tangannya didada.

Saad tersenyum melihat gelagat anaknya itu. Dia pantas menyeluk ke dalam beg bimbit kerjanya dan mencari sesuatu. Si ayah bangun dan merapati anaknya yang kekal berdiri dalam posisi yang sama.

“Tadaaa… anak patung beruang untuk adik!” Saad mengejutkan anaknya dengan patung beruang yang dibeli tadi.

“Wah! Comelnya anak patung beruang ni... Ayah saja je tadi, kan? Huhu, saaayang ayah...” Pipi Saad dikucup manja oleh Fatimah yang kegirangan.

“Pergi tunjuk dekat mak hadiah yang adik dapat ni...”

“Baik ayah...” Fatimah segera mencari maknya untuk menunjukkan hadiah yang baru diterimanya itu.

Saad membetulkan posisi kedudukannya kembali untuk merehatkan badan yang kepenatan setelah seharian bekerja. Nafasnya dihela perlahan-lahan sehingga matanya yang kuyu terkatup rapat. Seluruh anggota badannya sedang berehat melainkan jantung yang sentiasa bekerja untuk memastikan jasad yang dihuninya kekal bernyawa.

Dalam keenakan rehat yang dinikmati, Saad didatangi mimpi yang jarang sekali berlaku. Lebih-lebih lagi jika terlelap seperti ini. Dalam mimpi tersebut, Saad melihat isterinya, Salmah sedang berjalan di kaki lima sebuah bangunan lama yang tidak begitu dikenali.

Isterinya seperti sedang mengendong sesuatu. Pandangan Saad terbatas kerana kedudukannya yang jauh dibelakang. Salmah berjalan perlahan menuju ke hujung kaki lima bangunan tersebut. Saad mengekori secara senyap kerana tidak pasti apa sebenarnya yang sedang berlaku ketika itu.

Salmah memberhentikan langkah apabila sampai ke hujung kaki lima bangunan. Dia memusingkan badannya ke kiri, betul-betul berhadapan dengan sebuah kedai. Saad pantas menyembunyikan dirinya di sebalik timbunan kotak kosong yang ada di tepi tangga di sebelah kirinya. Dari celahan kotak, Saad dapat melihat Salmah menghulurkan sesuatu yang dikendongnya dalam balutan kain batik tadi.

Alangkah terkejutnya Saad apabila melihat tangan yang menyambut huluran Salmah. Sepasang tangan yang sungguh mengerikan. Ia berdarah, kulitnya terkupil umpama kulit pokok yang kering, kukunya pekat kehitaman dan panjang tirus dihujung.

“Abang... abang...”

“Hah!” Saad tersedar dari mimpi ngerinya.

“Astaghfirullah… terkejut saya bang. Kenapa tidur sampai meracau-racau ni? Berpeluh satu badan. Kenapa ni bang?” tanya Salmah.

“Astaghfirullah… astaghfirullah. Maaf yang, abang terkejut tadi. Takde apa, abang ok...” Saad cuba menyembunyikan perkara yang menghantui mimpinya.

“Ha, takpe la kalau macam tu. Abang pergi mandi dulu. Kejap lagi datang dapur, saya dah siapkan air kopi dengan cekodok pisang.”

“Baik yang, abang mandi sekarang.” Saad bingkas bangun sambil memikirkan apa sebenarnya yang dimimpikan tadi.

‘Mainan tidur kot. Ah, biarlah...’ getus hati Saad.

*****

HARI yang ditunggu telah tiba. Keluarga kecil itu akan ke pekan membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut puasa dan raya. Fatimah bangun awal hari ini, gembira bukan kepalang nampaknya. Salmah pula sedang bersiap selepas menyediakan sarapan pagi di dapur.

Saad asyik menghirup teh panas yang dihidang bersama dengan bihun goreng Singapura. Sedap sungguh masakan isterinya itu. Selepas sesuap, disambung lagi suapan seterusnya sehingga habis.

Selesai menjamu selera,Saad terus keluar rumah menerusi pintu dapur menuju ke keretanya. Dihidupkan enjin kereta sementara menunggu Salmah dan Fatimah bersiap. Sebatang rokok keretek dikeluarkan dari kotak yang sedikit kemik. Diletakkan rokok tadi ke bibir sambil tangan kanan memetik api dari lighter Aladdin lalu mencucuh hujung rokok.

Sedutan pertama ditarik dengan penuh nikmat. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Begitulah juga hanya perokok yang mengenal nikmat asap rokok yang disedut selepas makan. Berkembut asap keluar dari mulut dan hidung Saad. Sesekali dia teringat tentang mimpinya minggu lalu yang sangat pelik, mungkin dia perlukan bantuan dari pentafsir mimpi.

“Adik, cepat… ayah dah tunggu lama kat kereta tu!” jerit Salmah, memanggil anaknya yang masih belum kelihatan.

“Kejap… adik datang sekarang!”

Salmah segera menuntun anak tangga menuju ke kereta. Berpakaian biasa seperti ibu-ibu di kampung, bajukurung bercorak bunga warna merah hati dan mengenakan selendang putih yang dililit penuh di kepala.

“Tunggu adik, ayah!” jerit Fatimah dari atas rumah.

Saad hanya tersenyum melihat telatah anaknya berlari dari atas rumah, tidak mahu ketinggalan.

“Cepat-cepat… lambat je ayah tinggal.” Saad mengusik anaknya.

“Kejap ayah, tengah pakai kasut ni!”

“Hahaha… ayah pegi dulu ye sayang, bye.”

Saad melepaskan rokok tadi dan memijaknya untuk memadam bara yang masih menyala. Dia kemudian tenggelam dalam perut kereta, bersedia untuk bergerak ke pekan. Fatimah terkocoh-kocoh menyarung kasut dan berlari terus masuk ke kereta.

“Ayah ni kan… suka nak tinggal adik tau.” Fatimah mengeluh dituruti helaan laju nafasnya yang dalam kepenatan.

“Tak adalah sayang, ayah saja usik tadi. Okey, sekarang kita pergi shopping...”

“Yeayyy!”

Salmah melirik senyum melihat gelagat suami dan anaknya. Dalam kepalanya sekarang sudah ada banyak benda dan angka yang sedang lalu-lalang. Bertambah lebar senyumannya, asyik memikirkan barangan yang bakal dibeli sebentar lagi.

Kereta Dutson Sunny 120 yang dipandu Saad meluncur laju. Tidak sampai 15 minit, mereka sekeluarga telah sampai ke destinasi yang dituju. Saad meletakkan keretanya di petak parkir yang disediakan di dalam kawasan Surau Al-Diniyyah. Mereka bertiga berjalan berpimpinan tangan menuju ke kedai kain yang terletak di bawah sebuah bangunan lama di situ.

Setibanya di koridor pertama bangunan tersebut, Saad menyuruh Salmah dan anaknya pergi dahulu masuk ke dalam kedai untuk memilih kain. Dia ingin merokok sebentar. Salmah mengiakan kehendak suaminya dan membawa anak mereka menuju ke kedai kain yang berada dihujung kaki lima bangunan tersebut.

Sambil menyedut asap rokok yang dinyalakan tadi, Saad menghantar langkah isteri dan anaknya dengan pandangan. Tiba-tiba dia teringat sesuatu...

‘Ini macam tempat yang sama dengan yang aku mimpi tu, kan?’ Hati Saad mula berbisik.

Termenung seketika dia memikirkan sama ada perlu untuk dirisaukan atau sekadar membiarkan perasaan yang ada ketika itu berlalu pergi. Tersedar dari lamunan, kelibat isteri dan anaknya tidak kelihatan lagi. Barangkali sudah masuk ke dalam kedai kain.


***


“ADIK, jangan pergi tempat lain. Ikut mak je tau.” pesan Salmah kepada anaknya ketika mereka sudah masuk ke dalam kedai kain.

“Baik mak… adik ikut mak je,jangan risau. Ngeeee...” Fatimah beri jaminan dengan mempamerkan giginya yang putih bersih.

Salmah sudah tidak keruan lagi apabila melihat susunan gulungan kain ela yang memanjang sehingga kebelakang kedai. Banyak sungguh kain di sini, semuanya cantik-cantik belaka. Kalau ikutkan nafsu, mahu sahaja dibeli satu kedai. Begitulah rona kehidupan orang perempuan yang lazimnya suka kepada perhiasan dan kecantikan. Salmah mula membelek kain ela bercorak bunga besar dan berwarna terang. Fatimah pula sekadar berdiri dan memegang hujung baju Salmah tanpa berbuat apa-apa.

Selang beberapa minit, Fatimah sudah mula bosan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan di situ. Matanya liar melihat gulungan kain yang lebih tinggi dari dirinya.

“Hik hik hik... cepatlah kejar saya, saya ada kat sini...”

Tiba-tiba telinga Fatimah tertangkap suara kanak-kanak yang bunyinya seperti sedang seronok bermain kejar-kejar. Kepalanya bergerak seiring dengan mata, tercari-cari dari mana datangnya suara itu.

“Hik hik hik... awak tak dapat kejar saya...”

Tiba-tiba, seorang kanak-kanak perempuan berlari di hadapan Fatimah. Anak kecil itu tertarik untuk turut serta bermain dengan kanak-kanak yang mungkin sebayanya.

“Mak, adik nampak ada kawan main kejar-kejar kat tepi tu. Adik nak main sekali boleh?”

Hujung baju Salmah ditarik,sekali gus meminta keizinan Salmah untuk bermain.

“Ha takpe, pergilah main.Tapi jangan pergi jauh sangat, dekat-dekat sini je.” Salmah bersuara tanpa menoleh. Nampaknya asyik benar dia memilih kain.

Fatimah melangkah pantas untuk mencari kanak-kanak perempuan yang dilihatnya tadi.

“Sini, sini... Saya kat sini. Cepatlah kejar saya. Hik hik hik…”

Suara tadi kedengaran lagi.Fatimah segera mengekori bunyi suara itu untuk bermain bersama. Dia sudah berjalan hampir ke hujung kedai. Jarak antara dia dan emaknya semakin jauh. Langkah Fatimah terhenti di lorong tepi gulungan kain kosong berwarna hitam dan biru gelap. Dia memasuki laluan itu apabila terlihat seorang kanak-kanak perempuan yang memakai gaun putih sedang berdiri tegak melambai-lambai tangan memanggilnya.

“Sini, sini... Kita main kat sini.” Kanak-kanak perempuan itu menuding jari ke arah gulungan kain berwarna hitam.

Tanpa berfikir panjang, Fatimah terus berjalan. Hatinya berbunga-bunga kerana hari ini dia akan dapat kenalan yang baru untuk diajak bermain. Fatimah melihat kanak-kanak perempuan tadi seperti sedang masuk ke celah gulungan kain hitam yang ditunjuk tadi. Sesampainya di situ, ‘kawan’ baru itu sudah tidak kelihatan.

“Sini Fatimah, masuk sini… saya ada kat dalam ni...”

Fatimah terkejut mendengar suara ‘kawan’ tadi yang terkeluar dari celahan gulungan kain hitam di situ. Dia cuba mengintai jika ada ternampak susuk seusianya tadi di sebalik gulungan kain hitam yang tinggi itu.

Alangkah terkejutnya Fatimah apabila terlihat wajah kanak-kanak perempuan bergaun putih tadi sudah berubah menjadi rupa makhluk yang sangat menakutkan. Bebola matanya hitam penuh, mengalir darah yang pekat kemerahan dan kulitnya terkupil serta merekah seperti kulit pokok mati.

“Mak!!!” Fatimah menjerit sekuat hatinya kerana ketakutan yang amat sangat.

Tiba-tiba, pandangan mata Fatimah menjadi gelap. Rupa-rupanya muka Fatimah telah diserkup dengan tapak tangan makhluk tadi. Kukunya yang tajam menekan tepi muka Fatimah sehingga luka. Tidak sampai beberapa ketika, Fatimah telah ditarik masuk ke dalam celahan gulungan kain hitam tersebut. Tiada lagi kedengaran suara dan jeritan anak kecil itu.

***

Salmah yang sedang asyik memilih kain, tiba-tiba tersedar dari lamunannya. Dia teringat anaknya yang meminta izin untuk bermain tadi.

“Adik… adik! Adik kat mana, sayang?” Salmah memanggil anaknya, dia kerisauan.

Tiada sahutan yang kedengaran, menambah debar di hati Salmah. Dia segera keluar ke pintu masuk kedai dan memanggil suaminya yang masih berada di luar.

“Abang, cepat! Adik hilang! Cepat… bang!” Salmah menjerit dalam kesayuan.

“Hah! Adik hilang?” Saad terus mencampakkan puntung rokok yang masih berbara ke dalam longkang dan berlari mendapatkan isterinya.

“Cepat, abang! Huaaaaaa!” Salmah meraung. Merambu air mata keluar membasahi pipinya.

“Mana adik? Hilang kat mana?” Bertubi-tubi soalan Saad.

Salmah yang sudah hampir pengsan sekadar menuding jarinya ke dalam kedai kain. Saad mendudukkan isterinya di kerusi pengawal keselamatan yang ada di tepi pintu masuk lalu segera berlari masuk ke dalam kedai.

“Adik! Adik! Adik kat mana, sayang?” Meliar mata Saad melihat dan mencari kelibat Fatimah.

Gulungan-gulungan kain ditolak dan diselak dalam keadaan cemas. Tetapi tiada jejak atau kelibat anaknya langsung. Beberapa orang pelanggan dan pekerja yang turut berada didalam kedai cuba membantu. Tetapi tiada sesiapa yang menjumpai anak kecil itu.

“Encik, maaf kalau saya mengganggu... anak encik, perempuan dan pakai baju kurung warna kuning, kan?” sapa seorang wanita muda yang berdiri di belakang Saad.

“Ya, betul. Cik ada nampak anak saya ke?” Saad menjawab sambil menyeka air yang keluar dari matanya.

“Tadi saya ada nampak dia berjalan sorang-sorang kat kawasan belakang, dekat kain hitam sana. Cuba tengok dekat sana...” Wanita tadi memberikan sinar harapan kepada pasangan suami isteri itu.

Saad segera berlari ke tempat yang disebutkan oleh wanita tadi. Tidak sempat untuk dia mengucapkan terima kasih atas maklumat yang diberi. Beberapa orang mengekori Saad untuk membantu. Saad segera menyelongkar kawasan gulungan kain hitam setibanya disana. Setiap inci dicari dan diselak bagi mencari anak kesayangannya. Tetapi hasilnya tetap sama, hampa.

Saad terduduk bersandar kedinding kerana sudah hilang akal untuk mencari anaknya. Salmah datang merapati Saad dan memeluknya erat. Teresak-esak Salmah dan Saad, menangis terkenangkan nasib anak mereka yang telah hilang.


***


“ASSALAMUALAIKUM, tuan. Maaf kalau saya mengganggu. Nama saya Saiful. Ada yang memanggil saya di Surau tadi, meminta bantuan. Katanya anak tuan hilang di sini, ya?”

Saad dan Salmah disapa oleh seorang pemuda yang berpakaian seperti seorang ahli agama.

“Waalaikumussalam.  Ye, tuan. Anak kami hilang di sini. Kami tak tahu macam mana boleh hilang. Tadi dia ada bersama maknya memilih kain...” Saad membalas lemah.

“Macam tu ceritanya... Takpe tuan, tuan bangun dulu dan duduk di tepi untuk beri ruang kepada saya untuk usahakan apa yang termampu. Insya-Allah.”

Saad memimpin tangan Salmah dan membawa isterinya ke tepi tempat pembayaran. Tauke kedai tersebut memberi sebotol air mineral kepada Salmah untuk diminum agar dia dapat menenangkan dirinya untuk seketika. Saad kembali ke tempat gulungan kain hitam untukmelihat usaha yang dijalankan oleh pemuda tadi.

Saiful memulakan usahanya dengan membentangkan kain rida’ yang diambil dari bahu dan duduk bersila diatasnya. Matanya dipejam rapat dan mulut terkumat-kamit membaca sesuatu yang kedengaran seperti bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Tiba-tiba Saiful membeliakkan matanya memandang ke arah celah gulungan kain hitam yang masih tegak berdiri di hadapannya. Nafasnya dihela lebih deras. Seakan dia sedang melihat sesuatu yang sangat asing dari lensa manusia biasa. Hijabnya dibuka, terpampanglah rupa makhluk yang menarik Fatimah ke alam lain. Menyeringai, menyeramkan, hanyir dan memualkan.

“Man anta?” (Siapa kamu?)

“Limadza anta huna?” (Kenapa kamu ada di sini?)

“Limadza ta’khuz hadzat tiflu?” (Kenapa kamu ambil budak ini?)

Terpacul kata-kata bahasa Arab dari lisan pemuda tadi. Tiada siapa memahaminya dan tiada siapa mendengar apa-apa jawapan daripada persoalan yang ditanya.

“Ana djinn!” (Aku jin!)

“Askunu huna!” (Aku tinggal di sini!)

“Hadza laysa min amrik!” (Ini bukan urusan kamu!)

Makhluk yang mengambil Fatimah menjawab segala pertanyaan pemuda itu. Tetapi hanya pemuda tersebut yang mendengarnya.

“Yakfi!” (Cukup!)

“Al'iifraj eanha!” (Lepaskan dia!)

Saiful terus meluruskan tangannya ke atas sambil membaca ayat suci al-Quran dengan pantas. Kemudian dia mendepakan tangannya seolah-olah sedang mengumpulkan tenaga untuk melepaskan tembakan.

Tiba-tiba angin kuat mula bertiup di sekeliling kawasan tempat mereka berada sekarang. Berpusing laju seperti ada angin puting beliung yang singgah masuk ke dalam kedai. Kain-kain disekitar mula berterbangan dan sedikit mengganggu usaha Saiful untuk melepaskan jurus tenaga dalamannya.

Prang!!! Lampu di kawasan tempat Saiful duduk meletup dengan tiba-tiba. Ruang persekitaran menjadi gelap  dan sukar untuk melihat.

Ketika itu juga, Saiful melihat makhluk tadi cuba keluar dari celahan gulungan kain hitam dihadapannya. Kedua tangan makhluk itu memegang gulungan kain hitam tadi dan menjengah keluar mukanya yang menakutkan itu seraya menjerit dengan kuat.

“La tazeajni!!!” (Janganganggu aku!!!)

Saiful merasakan masanya semakin suntuk, jika dia lambat pasti anak kecil ini tidak dapat diselamatkan lagi.

“Tuan, tolong tunggu sebelah belakang sana. Sambut anak tuan baik-baik. Cepat tuan!”

Saad terus bergerak pantas ke belakang timbunan kain seperti mana diarahkan oleh Saiful. Setelah memastikan kedudukan Saad benar-benar bersedia, Saiful terus memusatkan seluruh tenaganya dalamannya pada kedua telapak tangan dan bersedia untuk melepaskan tujahan jurus Asma Sungai Rajeh ke arah makhluk tadi.

“Kaf!”

“Ha!”

“Ya!”

“Ain!”

“Sod!”

“Allahu akbar!!!”

Saiful melepaskan aura tenaga yang dikumpul sekali gus dihalakan ke arah makhluk yang berada dicelahan gulungan kain hitam tadi.

Prang!!! Kedengaran seperti bunyi cermin yang dipecahkan.

Tiba-tiba, susuk tubuh Fatimah terpelanting dari arah belakang timbunan kain dan segera disambut oleh ayahnya yang sudah bersedia dari tadi.

Saiful melepaskan nafas berat lalu menapakkan tangannya di atas kain rida’ dan menghela nafas kepenatan.

“Adik... Adik... bangun dik, ayah ni.” Saad memanggil anaknya yang kelihatan seperti sedang nyenyak tidur.

“Bawa anak tuan ke sini, saya kena buka ikatan yang sedang membelenggu dia.”

Saad mengangkat anaknya dan dibawa ke hadapan pemuda tadi. Pemuda itu membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan menggerakkan tangannya seolah-olah sedang memotong sesuatu di atas badan Fatimah.

Selepas itu, Fatimah tersedar dan terus memeluk ayahnya dalam keadaan ketakutan. Salmah segera mendapatkan suami dan anaknya. Saiful meminta sebotol air mineral lalu dibacakan sesuatu untuk diminum oleh Fatimah.

“Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Mudah-mudahan selepas ini tiada lagi gangguan seperti ini disini.”

“Terima kasih ustaz kerana sudi membantu kami...” Saad memeluk Saiful sebagai tanda terima kasihnya.

“Takpe tuan, ini semua takdir dari Allah SWT. Kita diuji kerana kita adalah orang yang beriman. Semoga apa yang terjadi hari ini menjadi pengajaran dan pedoman buat kita bersama.”

“Terima kasih banyak ustaz atas bantuan yang diberi, jika tidak… mungkin kami akan kehilangan anak kesayangan kami ini buat selama-lamanya.” Salmah mengucap selamat kepada Saiful sambil menyeka air mata yang berjujuran.

“Insya-Allah, puan. Segalanya dengan izin Allah.”

“Sebenarnya beberapa hari lepas saya ada bermimpi pelik ustaz. Dalam mimpi tu saya melihat isteri saya mengendong sesuatu yang dibungkus dalam kain batik. Kemudian bila sampai ke depan kedai ni, isteri saya menghulurkan benda yang dikendong kepada suatu makhluk yang sangat hodoh tangannya. Saya ingat itu sekadar mainan tidur.” Saad menceritakan apa yang dimimpikan sebelum ini.

“Macam tu... Sebenarnya mimpi ni datang dari beberapa sumber. Ada mimpi dari Allah SWT yang membawa alamat atau anugerah. Ada mimpi dari syaitan yang bersifat gangguan. Ada juga mimpi yang memang bersifat mainan tidur. Pada hemat saya, mimpi encik tu adalah alamat atau petanda kepada kejadian hari ini. Apa pun segalanya telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Kita sebagai hamba mesti redha dan usaha yang terbaik bagi mengatasi segala permasalahan yang timbul...” Ustaz Saiful menyampai pesan.

Saad dan Salmah membatalkan hasrat mereka untuk membeli apa-apa. Mereka terus bergegas pulang untuk memulihkan diri dan emosi daripada kesan kejadian itu.

Heboh kedengaran tentang cerita Fatimah disorok oleh jin di mulut-mulut orang kampung. Tiada apa yang perlu disesalkan oleh Saad dan Salmah, ianya ketentuan dari Ilahi. Beberapa hari kemudian, Saad mendengar cerita di sebalik kejadian tentang kedai kain yang dikunjungi itu.

Sebelum kedai kain itu dibuka, lot kedai di situ memang sudah lama tidak bersewa. Dibiarkan sahaja tanpa berpenghuni. Jadi disebabkan tiada orang menyewa, ‘penghuni’ lain telah mengambil kesempatan untuk tinggal di situ. Sehinggalah kedai kain yang ada sekarang ini dibuka dan mereka masih kekal di situ sehingga saat ini.

“Sini... Sini... Awak yang tengah baca tu... Marilah sini kejar saya... Hik hik hik”



- Tamat -












.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-5-2018 04:29 PM From the mobile phone | Show all posts
Yaiiii meremang!
Reply

Use magic Report

Post time 23-5-2018 04:50 PM | Show all posts
waahhhh...dah tepek kat sini

Reply

Use magic Report

Post time 23-5-2018 05:08 PM From the mobile phone | Show all posts
Cm.cite zaman dolu
Novel.dedolu cara penceritaanny..best
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 01:25 AM From the mobile phone | Show all posts
Oit ending tu

Thanks tt nice story
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 07:47 AM | Show all posts
best!!!..tepek lagi
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 24-5-2018 11:06 AM From the mobile phone | Show all posts
Atata replied at 23-5-2018 04:29 PM
Yaiiii meremang!

Terima kasih sudi baca nukilan amatur saya...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 11:07 AM From the mobile phone | Show all posts
Ipo replied at 23-5-2018 04:50 PM
waahhhh...dah tepek kat sini

Hehehe, luaskan perkongsian...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-5-2018 11:08 AM From the mobile phone | Show all posts
shernazz replied at 23-5-2018 05:08 PM
Cm.cite zaman dolu
Novel.dedolu cara penceritaanny..best

T.kasih sudi baca dan komen...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 11:08 AM From the mobile phone | Show all posts
doubleA replied at 24-5-2018 01:25 AM
Oit ending tu  

Thanks tt nice story

Huhu~ T.kasih sudi baca dan komen...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 11:09 AM From the mobile phone | Show all posts
addina3606 replied at 24-5-2018 07:47 AM
best!!!..tepek lagi

T.kasih sudi baca... Insya-Allah akan ada lagi nukilan baru nanti...
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 11:35 AM From the mobile phone | Show all posts
Tasnim_Halil replied at 24-5-2018 11:08 AM
T.kasih sudi baca dan komen...

Sama sama
Kongsi lagi cite lain pls
Iols.suka cite yang ada.monolog begini.
Cm.baca cite dedolu..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 11:49 AM | Show all posts
shernazz replied at 24-5-2018 11:35 AM
Sama sama
Kongsi lagi cite lain pls
Iols.suka cite yang ada.monolog begini.

Baik... Akan dikongsi bila dah siap nanti... Tengah mengarang lagi... hehe~
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 11:51 AM From the mobile phone | Show all posts
Tasnim_Halil replied at 24-5-2018 11:49 AM
Baik... Akan dikongsi bila dah siap nanti... Tengah mengarang lagi... hehe~

Bagus
Tq sis ..hehehe
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 11:52 AM | Show all posts
part yg last buat aku meremang
Reply

Use magic Report

Post time 24-5-2018 12:55 PM From the mobile phone | Show all posts
Tasnim_Halil replied at 24-5-2018 11:08 AM
Huhu~ T.kasih sudi baca dan komen...

We want more!! Hehe
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-5-2018 01:16 PM From the mobile phone | Show all posts
Nasib baik bukan baca tgh2 malam.. ajak main kejar2 pulak diaa
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 01:52 PM | Show all posts

Sama-sama... By the way, saya lelaki... huhu~
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 01:53 PM | Show all posts
C1k_J4h replied at 24-5-2018 11:52 AM
part yg last buat aku meremang

Dia bakal kembali... hehe~

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2018 01:54 PM | Show all posts

Coming soon... Insya-Allah.
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

6-5-2024 01:03 AM GMT+8 , Processed in 0.064884 second(s), 47 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list