CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1391|Reply: 0

Perang Badar: Pertembungan Iman Dan Kufur (17 Ramadhan 2)

[Copy link]
Post time 2-6-2018 09:14 PM | Show all posts |Read mode

RAMADHAN DAN PERJUANGAN

PERANG BADAR: PERTEMBUNGAN IMAN DAN KUFUR (17 RAMADHAN 2)


PENGHIJRAHAN Nabi Muhammad SAW ke Madinah pada tahun 622M tidak menghentikan permusuhan golongan musyrikin Mekah terhadap orang-orang yang beriman. Kejayaan Nabi SAW menubuhkan negara Islam pertama di Madinah dan termaterinya Piagam Madinah tahun pertama Hijrah telah memberikan kekuatan politik kepada Islam. Penyatuan kaum Muhajirin dari Mekah dan Ansar dari Madinah telah mengukuhkan lagi Islam. Masyarakat Yahudi di Madinah terpaksa mengiktiraf kedudukan Nabi SAW sebagai pemimpin tertinggi Madinah, sekali gus memberi kemenangan moral kepada Islam ke atas orang-orang Mekah.

Bagi menuntut hak kaum Muhajirin yang dirampas oleh orang Mekah, beberapa siri gerakan hendap (sariyah) telah dibuat oleh umat Islam di Madinah terhadap rombongan perdagangan Mekah yang berulang-alik ke Syam melalui kawasan Madinah. Beberapa pertempuran dan rampasan yang kecil berlaku di antara orang Islam dengan pedagang Mekah pada tahun pertama Hijrah (623-624M), tetapi tidak tercetus perperangan. Gerakan sariyah lebih kerap berlaku pada tahun kedua Hijrah kerana umat Islam ingin mengambil semula hak mereka yang dirampas. Keadaan ini menyebabkan orang-orang Quraisy mulai terancam, lebih-lebih lagi Madinah (dahulunya Yathrib) telah dikuasai oleh Nabi SAW yang dihalau oleh mereka dua tahun sebelumnya.

Sekatan Yang Menjadi Perang di Badar

Dalam musim bunga 624M, Nabi SAW telah menerima maklumat bahawa rombongan pedagang Mekah yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb akan melalui Madinah dari Syam. Rombongan yang dibiayai dengan harta umat Islam yang ditinggal di Mekah ini disertai sekitar 40 orang pengawal. Nabi SAW telah menggerakkan 313 orang terdiri daripada 82 orang Muhajirin dan 231 orang Ansar ke Badar untuk menyekat kafilah Quraisy tersebut dan merampas semula harta mereka yang digunakan untuk membiayai rombongan perdagangan tersebut. Abu Bakar, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan Hamzah bin Abdul Mutallib adalah antara tokoh utama dalam gerakan ini. Mereka hanya membawa tiga ekor kuda dan beberapa ekor unta, dengan tidak membawa maksud untuk berperang.

Berita tentang pergerakan pasukan Islam untuk membuat serbuan terhadap rombongan Quraisy telah sampai ke pengetahuan Abu Sufian. Dia telah mengarahkan Damdam bin Amru al-Ghafiri untuk meminta bantuan dari Mekah. Mereka segera dikirimkan oleh orang Mekah dengan 1,000 tentera dengan dipimpin oleh bangsawan utama Mekah termasuklah Amru bin Hisham (Abu Jahal), Walid bin Utbah, Syaibah bin Utbah dan Umaiyyah bin Khalaf. Tujuan mereka menyertai ketumbukan ini adalah pelbagai termasuk untuk membalas dendam dan mempertahankan harta mereka dalam rombongan Abu Sufian. Dengan jumlah tentera yang ramai beserta kelengkapan perang, ketumbukan ini bermaksud untuk bertempur dengan umat Islam di Madinah.

Iman dan Kufur Bertembung di Badar

Abu Sufian telah bertindak melencong ke Yanbu, sedangkan beberapa dari mereka tiba di Badar tepat seperti yang dijangkakan oleh Nabi SAW. Informasi tentang kedatangan tentera Quraisy dari Mekah telah sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW telah menanggil Majlis Perang untuk membincangkan hal tersebut, dan akhirnya bersetuju untuk berperang dengan musyrikin Qurausy. Umat Islam sebenarnya berusaha untuk mengelakkan perang, tetapi jika orang Mekah bertujuan untuk berperang, mereka akan menghadapinya.

Pada 15 Ramadhan 2H, dalam jarak sehari perjalanan ke Badar, umat Islam telah menahan dua orang pembawa air dari Mekah yang disangka rombongan pedagang, tetapi mereka adalah daripada kumpulan tentera Mekah. Nabi SAW kemudian segera bergerak ke Badar dan menguasai sumber air di Lembah Yalyal sebelum pasukan Mekah tiba. Strategi menguasai telaga sebagai sumber air telah mengukuhkan orang Islam. Ketika Abu Jahal tiba di Juhfah, dia telah diberitahu oleh Abu Sufian bahawa mereka telah selamat dan pasukan Mekah boleh bergerak pulang.

Beberapa puak Quraisy berhasrat untuk berpatah balik, tetapi Abu Jahal memutuskan untuk terus berperang dengan tentera Islam demi kepentingan politik dan pengaruhnya. Abu Sufian kemudian menyertai kumpulan tentera ini melawan Islam. Pada 17 Ramadhan 2H, tercetus perperangan antara kumpulan orang beriman dengan kumpulan musyrikin bermula dengan pertarungan antara Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutallib dan Abu Ubaidah al-Jarrah melawan tiga pahlawan Quraisy yang kemudiannya berjaya dibunuh oleh mereka.

Seramai 70 orang musyrik berjaya dibunuh termasuk Abu Jahal, sedangkan 70 yang lain ditawan. Sedangkan di sebelah orang mukmin, 14 orang telah syahid. Kejayaan Islam memenangi perang ini telah melonjakkan Nabi SAW sebagai pemimpin besar dan Islam menjadi kuasa politik Arab yang baru sehingga orang Arab Badwi mulai berduyung-duyung masuk Islam. Yahudi Bani Qainuqak yang mengkhianati perjanjian turut menerima kesan, selain melumpuhkan pasukan munafik di Madinah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubaiy. Di pihak Quraisy, kematian Abu Jahal telah membolehkan Abu Sufian menjadi ketua orang Mekah yang baru.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
17 Ramadhan 1438 / 2 Jun 2018


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

17-4-2024 01:37 AM GMT+8 , Processed in 0.054907 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list