CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: seek1u

[Copy link]
Post time 20-8-2004 09:21 AM | Show all posts

Misi - Istana Budaya milik Engku Daffa

Utusan Malaysia


Salah satu babak dalam teater Misi ketika Festival Teater Malaysia 2003.
--------------------------------------------------------------------------------
  
``ISTANA Budaya akan menjadi milik Engku Daffa.'' Itulah kata Pengarah teater Misi, Norhelmi Othman mengenai pementasannya pada 27 hingga 31 Ogos ini.

Mengambil kira ruang fizikal pentas di Panggung Sari, Istana yang besar untuk menampung hanya dua orang saja watak bukanlah kerja mudah.

Juga, bukannya kerja mudah memastikan dua watak menguasai ruang pementasan dan khalayaknya sekali gus tanpa membiarkan ruang kosong yang besar menguasai situasi lalu menyerlahkan lompongan.

Namun teater Misi yang diskripkan oleh Faisal Tehrani cuba membawa khalayak dengan reputasinya sebagai johan Festival Teater Malaysia 2003, di samping memenangi hadiah Pelakon Terbaik melalui watak Azman yang dilakonkan oleh Maizul Effendy Baharuddin.

Bagi pementasan yang menampilkan dua watak seperti Misi, tentunya selain daripada naskhah yang baik dan kuat, aspek lakonan bakal menjadi faktor penentu kelangsungan dan kejayaan teater ini.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan aspek lakonan yang mantap, kajian terhadap watak perlu terutama untuk mengembangkan dan mengeluarkannya dari kebiasaan.

Jika pementasan semasa festival teater lebih menekankan set dan prop yang minimalis, tentunya pengarah dan tenaga produksi perlu melakukan sesuatu bagi mengimbangi ruang yang besar di Panggung Sari.

Menurut Norhelmi, suasana pentas dan ruang sebesar Istana Budaya dianggap sesuai untuk menghidupkan watak Tan Sri Engku Daffa - aristokrat yang memiliki kekuasaan dan kekayaan hasil empayar perniagaannya.

Lantaran itu beliau ingin menjadikan seolah-olah Istana Budaya menjadi milik Engku Daffa bagi memberikan suasana kepada khalayak yang datang menyaksikan pementasan tersebut.

``Saya akan jadikan ruang yang besar di Istana Budaya sesuai dengan watak Engku Daffa. Istana Budaya umpama miliknya.

``Selain set dan prop, Misi juga akan menggunakan teknologi multimedia bagi menggambarkan cita-cita seorang yang lumpuh (Engku Daffa) ingin kekuasaan,'' ujarnya.

Teater Misi mengisahkan hubungan antara seorang kaya, Tan Sri Engku Daffa Engku Omar dengan jururawat peribadi barunya, Azman. Berbeza dengan jururawat lain yang diberhentikan, atau minta diberhentikan, kehadiran amat disenangi oleh jutawan yang memiliki empayar perniagaan.

Bagaimana pun tanpa disedari oleh Engku Daffa, Azman sebenarnya mempunyai perancangan sendiri terhadap jutawan itu yang berpunca daripada dendam peribadi.

Hubungan dan pertembungan antara kedua-duanya memperlihatkan pertembungan antara golongan kaya dan miskin, pemodal dan pekerja, persoalan politik dunia serta ekonomi globalisasi.

Lantaran itu, secara relatifnya membawa persoalan besar mengenai situasi dalam negara, tetapi menjangkau kepada permasalahan sejagat.

Pementasan teater Misi merupakan sebahagian daripada Siri Teater Malaysia (Stem) Istana Budaya yang dipentaskan pada 27 hingga 31 Ogos ini pada pukul 8.30 malam.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-8-2004 06:20 AM | Show all posts

Porselin timbulkan seri hiasan

Oleh Azran Jaffar



BARANGAN porselin memang popular di seluruh dunia untuk hiasan sudut tertentu di dalam rumah. Di China, ia popular dengan porselin biru dan putihnya, masyarakat Korea Selatan juga tidak terkecuali dan penghasilan proselin putih yang menjadi kebanggaan rakyat negara berkenaan.

Sebenarnya, ada beberapa jenis porselin putih yang dihasilkan, iaitu putih sepenuhnya, porselin biru dan putih, porselin putih yang dicat dengan besi juga porselin putih yang dilicau merah.

Penghasilan porselin di Korea bukanlah perkara baru. Sekitar lewat kurun ke-14 porselin Buncheong yang berupa porselin kelabu yang diserikan dengan hiasan putih mula dihasilkan.

Bagaimanapun, sebelum pendudukan Jepun ke atas Korea pada 1592, seni ini mulai hilang dan penghasilan porselin putih diteruskan pada zaman Joseon iaitu sekitar 1392 hingga 1910.

Pada abad ke-14 dan ke-15, porselin putih lembut turut dihasilkan yang meneruskan tradisi Goryeo dan pada pertengahan zaman Joseon, porselin putih mula menjadi aliran di Korea.

Porselin putih pada zaman Joseon dapat dibahagikan kepada tiga iaitu zaman awal, pertengahan dan akhir, bergantung kepada ciri-ciri gayanya serta perubahan yang berlaku padanya.

Porselin putih zaman awal mendapat pengaruh porselin putih Yuan dan Ming di China. Porselin biru dan putih menggambarkan gaya China yang pada mulanya diterapkan dalam penghasilan, bagaimanapun diganti dengan corak yang memperlihatkan gaya Korea.

Zaman pertengahan pula memperlihatkan perubahan dari segi bentuk, warna dan kaedah membakar yang mana ciri utama yang jelas pada zaman ini adalah warna putih salji.

Pada zaman pertengahan ini juga penghasilan porselin biru putih mula terbantut manakala porselin putih yang dicat besi meningkat, juga watak lucu Korea mula menjadi motif hiasan.

Bagaimanapun, pada tempoh akhir zaman pertengahan, penghasilan porselin biru putih kembali meningkat, tetapi coraknya agak sederhana dengan calitan warna merah jambu muda dan corak kekwa liar yang menampakkan sentimen Korea.

Zaman akhir pula memperlihatkan porselin yang pelbagai yang mana ciri utama zaman ini adalah corak yang realistik seperti landskap, kawasan lapang juga tujuh harta karun (antaranya emas, perak, kristal, karang laut dan mutiara) juga kelawar.

Porselin Joseon dihasilkan untuk pelbagai kegunaan seperti bekas untuk menyimpan alatan menulis, juga bekas untuk mengisi dan menyimpan barangan dapur. Sebagai barangan kegunaan harian, porselin Joseon datang dalam bentuk seperti mangkuk sup, mangkuk nasi serta pinggan.

Di antara barangan ini, mangkuk sup adalah yang paling popular dan masih dihasilkan hingga ke hari ini, selain dulang, pinggan kecil, cawan dan juga pinggan.

Leher pendek, mulut besar dan badan yang besar adalah ciri-ciri porselin Joseon zaman awal yang mana ia juga tidak begitu dihias dan pada kurun ke-17 ciri ini mula berubah yang menyaksikan penghasilan porselin Joseon yang leher panjang dengan badan ramping.
Reply

Use magic Report

Post time 16-9-2004 07:31 PM | Show all posts

Misi - Berjaya di pentas, khalayaknya gagal

Oleh LUQMAN HAKIM dan ADIB ASHRAF


Azman (kiri) menunjukkan penentangan terhadap tuannya sendiri, Engku Daffa.
--------------------------------------------------------------------------------
  
MENYAKSIKAN pementasan teater Misi, pasti ada khalayak yang beranggapan bahasa atau perkataan yang keluar dari mulut watak bernada kasar, kurang ajar atau biadap.

Kata-kata makian dan sumpah-seranah meluncur laju dari mulut salah satu daripada dua wataknya, Engku Daffa - seorang jutawan yang lumpuh - seolah-olah manusia yang mendengar atau menerimanya tidak lebih daripada lubang najis atau tong sampah.

Namun itu merupakan sebahagian daripada kata-kata yang menjadi catan sikap sebenarnya watak ini sebagai golongan pemodal yang rakus terhadap orang bawahan.

Maka itu sewenang-wenangnya kata-kata makian dan cacian menjadi permainan. Kata-kata `sial', `babi' dan `bodoh' semacam menjadi santapan sebagaimana dia meneguk minuman keras.

Pementasan Misi, karya Faisal Tehrani, arahan Norhelmi Othman telah berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini hanyalah teater kecil yang menampilkan dua pelakon.

Norhelmi sendiri memegang watak Tan Sri Engku Daffa Engku Omar dan Maizul Effendy Baharuddin sebagai Azman.

Secara mudahnya, Misi merupakan skrip pentas yang baik, dan potensi naskhah ini berjaya pula dipindahkan ke pentas oleh pengarahnya.

Misi yang dibawa oleh Angkatan Budaya Daerah Balik Pulau (ABAD) sebenarnya memberikan beberapa titik dan tanda yang harus difikirkan bersama, biarpun ia hanyalah teater kumpulan amatur yang dianggotai oleh tukang kayu, nelayan dan pelbagai kelas masyarakat dari Balik Pulau.

Namun pementasan Misi berjaya memberikan suatu yang bermakna kepada khalayaknya dengan mempertaruhkan kejayaan sebagai juara Festival Teater Malaysia 2003 dan Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Maizul Affendy.

Jika persembahan sebelum ini, Norhelmi sebagai Engku Daffa lebih mendominasi persembahan di ruang lakon, tetapi di Panggung Sari, Maizul sebagai Azman telah hadir dan menunjukkan wibawanya.

Dia tampil dengan penuh faham dan sedar akan watak yang dilakonkannya. Lantaran itu Maizul Effendy telah memberikan lakonan yang cukup mengesankan sepanjang pementasan sejam setengah.

Maizul muncul dengan karakter tersendiri dan sebagai bakat baru yang harus diberi peluang untuk membina diri sebagai pelakon pentas berwibawa.

Norhelmi tetap memberikan lakonan yang baik, muncul dengan angkuh dan sombongnya memperagakan kekayaan dan kehebatan dirinya.

Penampilannya menampilkan watak kapitalis yang mencengkam dan peminum darah rakyat. Dia hadir dengan penuh bergaya.

Malah dia mengembala dua orang pembantunya, Mary dan Subra dengan berjaya melalui dialog dan kata-katanya seumpama menekan butang alat kawalan jauh sistem pandang dengarnya, meski pun watak Mary dan Subra tidak pun muncul di pentas. Cara Engku Daffa memanggil Mary dan Subra, jelas memberikan impak yang besar kepada penonton terhadap peranan dua manusia tersebut di sisi Engku Daffa.

Azman selaku jururawat atau misi memiliki dua wajah. Misinya untuk membalas dendam terhadap orang yang menghina ibunya sehingga mati, sekali gus misi atau jururawat yang menjaga Engku Daffa dengan patuh dan hormat.

Dia menyimpan dendamnya dengan penuh sabar sehingga yakin sudah menemukan titik menghancurkan keegoan yang sekian lama membiak dan berakar dalam batin Engku Daffa.

Demi menjayakan misinya, dia menjadi begitu setia kepada Engku Daffa sehingga sanggup `diitikkan' dan dianjingkan' oleh tuannya.

Lebih jauh daripada itu, Azman tidak sahaja mewakili dendam diri dan peribadi, malah merupakan segumpal semangat yang padu, dari impian dan bawah sedar golongan bawahan yang tertindas dan dipijak.

Dia bangkit untuk menyatakan luahan yang sekian lama terpendam itu lalu memberontak dengan berani dan yakin atas kebenarannya sendiri.

Norhelmi dan Maizul antara pelakon generasi baru yang merupakan produk pengajian seni di kampus universiti. Cuma sayang, lakonan yang baik tanpa nama besar dalam dunia hiburan tanah air gagal menarik minat penonton untuk memenuhi Panggung Sari, Istana Budaya.

Memang dunia teater Malaysia, tetap miskin dengan penonton yang bersedia untuk membancuh dan mengasah fikiran untuk berfikir.
Reply

Use magic Report

Post time 21-9-2004 12:35 PM | Show all posts

Karya-karya terpilih Cheong Laitong

KEHEBATAN seniman ini tidak terbatas kepada karya-karya yang pernah dihasilkan, tetapi kelangsungannya dalam menyemarakkan dunia seni lukis lebih daripada empat dekad.

Tentunya menyaksikan karya-karya Cheong Lai Tong yang giat berkarya sejak tahun 1960-an umpama suatu perjalanan sejarah seni negara yang panjang, yakni perkembangan dalam proses berkarya senimannya.

Pameran berjudul Cheong Laitong: Karya-karya terpilih 1960-2004 bukan sekadar paparan kreativiti senimannya, sebaliknya turut memaparkan perkembangan gaya artistik seni lukis kontemporari Malaysia.

Lebih menarik pameran kali ini turut mengetengahkan hasil karya-karya beliau yang tidak pernah dipamerkan kepada khalayak yang merupakan koleksi peribadinya.

Bertunjangkan aliran abstrak, seniman ini membawa unsur alam dengan gaya ekspresionis dalam karya-karyanya sehingga mendapat pengiktirafan termasuk abstrak figura pada lukisan mural bangunan Muzium Negara.

Khalayak berpeluang menyaksikan perkembangan seniman dalam berkarya yang dimulakan dengan gaya kaligrafi pada tahun 1960-an membawa kepada aliran dan penerokaan baru yang memaparkan perbezaan kreatif dan landskap pemikiran secara mistikal, percampuran teknik fotografi dan catan serta dunia abstrak pergunungan Kuning di China.

Karya-karya seniman ini turut diperlihatkan melalui gaya spontan, mencabar dan berani serta mengetepikan pandangan konvensional mengenai persepsi dan pemahaman terhadap sesuatu karya.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi NN Galerry di 53A & 56 Jalan Sulaiman 1, Taman Ampang Hilir, Selangor, atau menghubungi talian 03-42706588 atau laman sawang www. nngallery.com.my.

Pameran akan berlangsung sehingga 30 September ini.
Reply

Use magic Report

Post time 13-10-2004 08:58 AM | Show all posts

Northern Vantage - Semangat utara dalam gerakan seniman

Utusan Malaysia

MEMETIK kata-kata, Yeong Seak Ling selaku Presiden Artgrup Penang: ``Artgrup memberikan sudut pandangan utara, bukaan tingkap ke arah pelbagai pandangan.''

Reply

Use magic Report

Post time 13-10-2004 09:06 AM | Show all posts

Set hidangan porselin wajah tempatan

Oleh Azran Jaffar



SET hidangan yang memperlihatkan kepala angsa hasil kerja Umi Rahmah
sementara Umie’ra (kanan) bersama himpunan set hidangan porselin
bercorak bunga sepit udang.

APABILA bercakap mengenai set hidangan daripada porselin, apa yang bermain di dalam fikiran kebanyakan kita ialah pinggan mangkuk yang dihiasi bunga-bungaan berwarna lembut bercorak kedesaan masyarakat Inggeris.

Porselin bercorak klasik ini kadang-kadang hanya dihiasi palitan seperti perada emas di hujungnya yang menyerlahkan kemewahan dan keistimewaan set berkenaan.

Bagaimanapun, dalam usaha mempelbagaikan corak dan lari dari kebiasaan, House of Mozalyn (Mozalyn), pengeluar produk porselin tempatan memperkenalkan set hidangan juga barangan hiasan proselin dengan wajah tempatan.



RAMA-RAMA yang dihasilkan Aziah Atan.

Mazlynda berkata, kerja seni harus mampu membuatkan seseorang itu berfikir dan kerana itu seseorang itu harus memberikan identiti sendiri pada karyanya supaya berbeza dengan orang lain.

Seperti juga lukisan di kanvas, begitu juga dengan lukisan porselin kerana ia harus memberikan kelainan, tambahan pula porselin juga mempunyai fungsi gunaan, katanya.

http://www.bharian.com.my/m/BHar ... 1010103657/Article/
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 24-11-2004 06:02 AM | Show all posts

Wakil Malaysia gagal raih anugerah

Oleh AZMAN ISMAIL

(Yang membuat liputan di Anugerah Seni Lukis Philip Morris ASEAN 2004 Bangkok, Thailand baru-baru ini)

TIADA karya-karya pelukis Malaysia di Anugerah Seni Lukis Philip Morris ASEAN 2004 di Bangkok, Thailand yang meraih hadiah utama atau menduduki salah satu daripada lima tempat anugerah juri.

Hadiah utama menjadi milik pelukis muda Filipina, Leonard L. Aguinaldo (God Is On Our Side). Begitu juga dengan anugerah juri menjadi milik Fery Eka Chandra (Seribu Kepala Untukku), Kawayan Thor Kalayaan M. De Guia (Mystique of The Urban Mistake) dan Terence Lin Qing Jiang (Facade of Everyday).

Turut memenangi anugerah juri ialah Kaewvisit Songwoot (Inspirational Belief) dan Do Anh Tuan (Invasion of Death).

Namun, Ketua Juri anugerah tersebut, Patricia Hoffie dari Australia yang ditemui Utusan Malaysia mengakui, meskipun karya-karya pelukis muda Malaysia tidak meraih kemenangan, karya-karya mereka bukanlah kosong tanpa isi.

``Saya lihat karya-karya pelukis muda Malaysia mempunyai potensi, penuh dengan idea dan mereka cuba bereksperimen dari segi konsep, paparan, malah berjaya mengemukakan gaya seni lukis kontemporari yang baik.

``Cuma mungkin pengalaman mereka yang masih baru, idea, konsep dan estetika tidak digabung dengan begitu baik hingga penyampaian mereka agak samar walaupun mesejnya jelas,'' katanya.

Pandangan Patricia memang beralasan. Karya Ahmad Zuraimi Abdul Rahim misalnya mengetengahkan idea yang begitu menarik dan bernas dengan paparan karya kotemporari dan tradisional.

Memang dari satu aspek, beliau masih terpengaruh dengan gaya pengkaryaan Pablo Picaso dan seni pop oleh Robert Rosemberg dalam beberapa aspek terutama medium, tetapi Ahmad Zuraimi berjaya mengetengahkan satu asimilasi ke dalam seni tampak tempatan dengan baik.

Malah pandangan Patricia terhadap karya Ahmad Fuad Osman, `An Eye For An Eye Will Make The Who World Go Blind', lebih menarik. Meskipun menggunakan teknik cetakan dan komputer grafik, tetapi beliau mengutarakan idea yang sangat menarik.

Menurut Patricia, karya itu tidak banyak bereksperimen dari segi teknik tetapi ia melontarkan idea yang cukup bernas tetapi kita terpaksa akur dengan pandangan semua anggota juri.

``Beliau berjaya menampilkan idea yang berdasarkan media untuk mengkritik secara visual tentang niat tidak baik sesetengah media asing terhadap beberapa isu dunia seperti perang Iraq atau tokoh Osama bin Laden,'' katanya.

Sementara itu, Patricia turut mengakui tiga lagi karya artis Malaysia iaitu Ahmad Syukri Elias, Ivan Lam Wai Hoe dan Chan Kok Hooi juga tidak kalah hebat terutamanya dalam aspek eksperimental dan idea.

Ahmad Syukri mungkin menjadi artis yang paling `rajin' menerusi karyanya Rainbow Nation yang menggunakan lebih 2,000 patung mainan kecil yang disusun membentuk wajah yang penuh ketakutan dan kesuraman.

Melalui patung-patung itu, beliau bercerita tentang kekhuatiran terhadap nasib negara ini andainya perpaduan antara kaum tidak menjalani proses integrasi yang sewajarnya.

Beliau mengingatkan seluruh rakyat negara ini, andainya tidak ada perpaduan dan kesatuan, rakyat Malaysia akan hidup secara berkumpulan berasaskan warna kulit, agama dan bahasa.

Sementara itu, sedikit berbeza dengan karya-karya Kok Hooi (Boleh) dan Ivan Lam (Symphony of Our Children) yang mengutarakan mesej keceriaan dan cita-cita generasi muda negara ini dalam membangunkan negara.

Symphony of Our Children misalnya mengungkapkan semangat anak negeri untuk terus membangun dengan nilai dan acuan berfikir sendiri yang tidak kalah hebat berbanding dengan negara-negara Barat.
Reply

Use magic Report

Post time 24-11-2004 06:14 AM | Show all posts

Bergaya dengan songket Palembang

Oleh Raihanah Abdullah

Baru-baru ini, warga kota berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi songket Palembang pada ekspo Perdagangan dan Pelancongan Pertama Indo-Asia 2004 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.



MIRZA Indah Dewi menunjukkan songket Palembang berwarna ungu.

Sehelai kain tenun songket dari Palembang menyimpan pelbagai makna dan mempunyai nilai sejarah. Kain itu mungkin sebagai peninggalan nenek-moyang pemilik yang ditenun selama satu tahun dan mungkin juga dijadikan mahar.

Pengurus Fesyen Songket Putri Dayang Merindu, Mirza Indah Dewi, berkata songket Palembang sering kali dijadikan sebagai busana kebesaran adat pengantin dan menjadi bahan koleksi keluarga yang berharga.

Katanya, songket Palembang diperbuat daripada benang emas atau perak tetapi benang emas lazimnya membabitkan perbelanjaan yang tinggi kerana ia lebih cantik dan unik.

“Harga sehelai songket Palembang boleh mencecah hingga beribu-ribu ringgit, apatah lagi jika ia ditenun dengan benang emas dan berwarna merah. Asal-usul songket Palembang berwarna merah kerana merah melambangkan kejayaan dan kemegahan tetapi sejak kebelakangan ini, pelbagai warna keluar bagi memenuhi cita rasa individu zaman sekarang,” katanya ketika ditemui pada ekspo itu.

Jika menilik warnanya yang khas dan motif hiasnya yang indah, pasti kita membuat kesimpulan bahawa songket itu dibuat dengan ketrampilan, kesabaran dan daya kreativiti yang tinggi.

Bahan baku kain songket Palembang adalah diambil daripada pelbagai jenis benang, termasuk benang kapas atau yang lebih lembut daripada bahan benang sutera.

Sebelum ditenun, bahan baku diberi warna dengan dicelup dengan bahan warna dikehendaki. Warna dominan daripada tenun songket Palembang selalunya adalah merah.

Suatu ketika dulu, kain songket tradisional dicelup dengan warna alam dan teknik ini diteruskan ke anak cucu secara turun-temurun.

Motif hias songket selalunya berbentuk geometri dan berasaskan flora dan fauna, yang masing-masing mempunyai maksud atau lambang yang baik.

Contohnya, bunga cengkeh, bunga tanjung, bunga melati dan bunga mawar melambangkan kesucian, keanggunan, rezeki dan kebaikan.

Tips Merawat Songket:

l Kain songket sebaiknya digulung mengelilingi batang pralon (kayu penongkah) seperti menyimpan tekstil moden tetapi kain songket hendaknya dilapisi terlebih dulu dengan kertas minyak, kertas roti atau kertas kopi. Jangan sekali-kali menggunakan akhbar.

l Kain dibungkus plastik disimpan dalam almari dan diletakkan berdiri atau mengiring.

l Almari penyimpanan diberi butir-butir lada atau cengkeh untuk mengelakkan serangga.

l Kain songket tidak boleh dicuci, termasuk cucian kering. Ia hanya perlu dianginkan saja.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


~LiLi~ This user has been deleted
Post time 26-11-2004 09:26 PM | Show all posts
craft centre listing

http://www.virtualmalaysia.com/d ... type=Craft%20Centre

[ Last edited by ~LiLi~ on 26-11-2004 at 09:28 PM ]
Reply

Use magic Report

Post time 16-12-2004 01:10 AM | Show all posts
Gaya tersendiri Sophia Vari
Oleh Azran Jaffar


BAGINYA apa yang yang digambarkan di dalam catannya dan juga arcanya yang mengambil unsur geometri, kuantum dan bentuk adalah bertujuan untuk memanusiakannya di dalam ruang pengkaryaan.

Catannya banyak menyimpulkan bentuk empat persegi yang disusun berlapis manakala arcanya pula menjurus kepada lengkuk dan lengkungan dengan mainan warna terang yang digabungkan dengan kepekatan hitam, menampakkan kekukuhan sesuai dengan bahan gangsa yang digunakan dalam penghasilannya.


SOPHIA Vari dengan satu daripada catannya yang memperlihatkan pengaruh kubik Picasso.

Jika Karim Raslan mengatakan kaedah itu memberikan kesan terkini dan keghairahan, seorang pensyarah seni halus di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan pula menyifatkan tidak ada apa yang begitu baru dalam karya pelukis kelahiran Greek ini.

“Bentuk-bentuk kiub yang dihasilkan bagaikan menghidupkan semula gaya Picasso dan apa yang dapat dikatakan Sophia adalah lanjutan kepada Picasso,” katanya ketika diminta sedikit ulasannya.

Apa pun, inilah gaya Sophia Vari, pelukis yang himpunan catan dan arcanya sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara. Pameran yang bermula Isnin lalu akan berakhir pada 30 Januari ini.

Kaedah lapisan bentuk segi empat, sama ada yang dititiskan daripada tangannya atau melalui kaedah tampalan pada catannya yang diulang berkali-kali membentuk imej Sophia yang tersendiri.

Semenjak 1960-an karyanya sudah merantau ke seluruh dunia dan kerana hubungannya yang rapat dengan benua Eropah, Sophia bagaikan tidak dapat lari dari pengaruh itu yang menyaksikan pengkaryaannya diwarnai oleh latar belakang itu.

Sophia adalah hasil gabungan bapanya yang berbangsa Greek dengan ibunya yang berbangsa Hungary dan beliau mendapat pendidikan di beberapa tempat di Eropah seperti Switzerland, London dan Paris.

Tema kemanusiaan dalam karya Sophia lebih jelas pada arca yang dihasilkan kerana walaupun aliran yang dibawanya adalah abstrak, namun lengkung dan garis lurus yang terhasil menampakkan bentuk-bentuk manusia.

Sekali imbas arcanya mungkin membayangkan hasilan karya kanak-kanak yang bermain dengan alat tulis yang berada di dalam kotak pensilnya – dengan pembaris menghasilkan bentuk lurus dan pengasah pensil pula menghasilkan bentuk bulat, separuh bulat dan tiga suku bulat – namun imej manusia yang tidak ketara menimbulkan satu-satu persoalan yang hendak diungkapkan.

Penggunaan warna seperti merah, hijau dan biru yang senada tanpa tona di bahagian tertentu arca yang penuh hitam pula memberikan satu garis keceriaan.
Reply

Use magic Report

seek1u This user has been deleted
 Author| Post time 8-1-2005 09:23 PM | Show all posts
link utk hasil2 batik dan contoh2nya takde lak ek ?
Reply

Use magic Report

Post time 10-1-2005 12:07 AM | Show all posts
Sila rujuk...




http://www.batikmalay.com/

SHNS Sdn Bhd

http://shnsbatik.com/

Noor Arfa - HANDPAINTED BATIK

http://www.wernerdiesch.de/spec/arfa.htm

[ Last edited by fleurzsa on 10-1-2005 at 12:17 AM ]
Reply

Use magic Report

Post time 18-1-2005 12:02 AM | Show all posts
Pelukis muda - Perlu tonjolkan seni mantap
Oleh ANI AWANG


RAJA Azhar Idris memegang talam kaca unik yang dihasilkannya.
--------------------------------------------------------------------------------

PELUKIS muda perlu memanfaatkan seni tampak yang boleh menjadi elemen penting mencerminkan pelbagai tafsiran.

Elemen tersebut berfungsi menceritakan persekitaran, masyarakat, emosi dan falsafah yang kebanyakannya diadaptasi daripada perasaan dan pemikiran seseorang.

Menyedari kepentingan seni tampak kepada seni bangsa, pelukis veteran Raja Azhar Idris berkata, pelukis muda disaran supaya mencipta seni tampak yang berlainan agar seni yang dihasilkan itu bertambah mantap.

``Kebanyakan pelukis muda berbakat di negara ini mempunyai potensi untuk maju setanding dengan pelukis terkenal jika mereka sedia bersungguh-sungguh untuk menonjolkan pelbagai konsep dan gaya seni yang baru.

``Mereka yang terdidik secara formal di mana-mana universiti, terbukti mempunyai reputasi yang baik untuk menjadi pelukis terkenal pada suatu masa nanti,'' kata beliau ketika ditemui di galerinya, Art Case Galleries Sdn. Bhd., City Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Raja Azhar yang banyak membuat pameran seni tampak di negara ini berkata, kebanyakan karya-karya pelukis yang dihasilkan oleh pelukis negara ini secara tidak langsung menonjolkan identiti seni dan bentuk-bentuk kebudayaan bangsa.

Kata Raja Azhar, tidak banyak seni kaca dihasilkan oleh pelukis di negara ini kerana kosnya yang tinggi.

``Saya menghasilkan seni kaca ini kerana ia bidang baru yang mendapat sambutan khalayak.

``Karya seni itu boleh dijual antara RM200 hingga mencecah ratusan ribu ringgit,'' tegasnya.

Menurut beliau, generasi baru sewajarnya memanfaatkan peluang yang ada dengan menggunakan pendekatan baru ke arah melahirkan bentuk seni tampak yang baik.

``Kita sepatutnya menampilkan pelbagai imej seni yang baru dalam kehidupan seharian kerana seni hasil lakaran tersendiri adalah indah,'' katanya.

Beliau memberi contoh, karya pelukis muda, Latif Maulan yang menggunakan arkilik dalam menghasilkan lukisan buah dan batik sebagi sesuatu yang baru.

``Inilah perubahan seni tampak yang perlu ditampilkan bagi tatapan khalayak,'' katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 6-2-2005 09:30 PM | Show all posts
Terendak lampu motif awan larat

MOTIF awan larat berwarna-warni yang menghiasi dada wau memberikan kesan tersendiri apabila ia terbang tinggi di udara – menggambarkan betapa indahnya kerja seni ini.


MOTIF awan larat hiasan popular pada wau kini dialihkan kepada terendak lampu.

Bersandarkan motif yang penuh bergaya itu, seorang pengusaha wau di Baling, Kedah, Kasmin Abdul Jabar mengilhamkan motif itu dalam rekaan terendak lampu yang mampu memberikan kesan sama pada kediaman.

Masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan, terendak lampu yang dihiasi motif-motif wau itu dihasilkannya sejak dua tahun lalu, melalui syarikatnya Wau Baling Bunga Tanjung. Ia adalah usaha sampingan terhadap kraftangan wau yang dihasilkannya.

“Saya mendapat ilham menghasilkan terendak lampu sebegini hasil daripada pemerhatian yang dijalankan di beberapa hotel yang mana saya lihat mereka lebih banyak menggunakan lampu tidur serta lampu hiasan dengan terendak yang berwarna seperti putih dan kuning cair.

Apa yang lebih menarik kata Kasmin, corak ini adalah corak tempatan jadi secara tidak langsung ia menggambarkan identiti tempatan yang kaya dengan bunga hiasan yang menarik.

Menggunakan kayu Jelutung sebagai rangka, terendak lampu ini menggunakan kain sebagai lapisan pertama sebelum dikemaskan dengan kertas berwarna bagi menonjolkan corak yang menghiasinya.

“Proses menghasilkan corak sama seperti menghasilkan corak pada wau dan ia ditampal pada kain bagi memberikan daya ketahanan yang lebih berbanding kertas yang mudah koyak,” katanya.

Walaupun masih baru, ilham terendak lampu ini sudah melangkaui seberang laut yang mana ia dipertunjukkan pada masyarakat Amerika Syarikat tahun lalu, sewaktu Kasmin menyertai satu pameran yang dianjurkan Pelancongan Malaysia.

“Sambutan sangat menggalakkan dan mereka yang melihatnya menyatakan tidak pernah melihat terendak lampu sebegini, cuma kami tidak dapat menjualnya kerana perkakasan elektrik yang digunakan pada terendak lampu ini tidak sama dengan piawaian barangan elektrik di sana,” katanya.

– Azran Jaffar
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2005 12:01 PM | Show all posts
PERASAAN MARAH JADI MENARIK DI KANVAS
Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Penulis Sambilan

PELUKIS Malaysia, Zulkifli Yusoff, yang pernah digelar seniman pemarah kerana tidak pernah jauh daripada kontroversi dan sering mengkritik masyarakat Melayu serta penyalah gunaan kuasa, kini mengajak anda sama-sama merasakan 'kepanasan' perasaan menerusi karya-karyanya yang menarik.

Para pencinta seni lukis kini berpeluang melihat karya-karya Zulkifli yang menjadikan 'panas baran' sebagai tema pameran solonya yang sedang berlangsung di galeri seni Utterly Art di 208, South Bridge Road.

Pameran berlangsung sehingga 15 Mei ini.


'Hot Temper'

Bagaimanapun, menurut beliau, pameran solonnya di sini yang diberi tema Hot Temper itu tidak mengandungi nilai-nilai negatif.

'Marah atau panas baran sebenarnya mempunyai maksud yang sungguh luas.

'Kebanyakan karya saya kali ini sebenarnya adalah penelitian mengenai watak marah dan kesan terhadap masyarakat.

'Ia juga mengenai emosi dan dianggap jujur jika kita meluahkan kemarahan itu,' kata Zulkifli.


Karya dengan kesan mendalam

Melalui kajian dan penyelidikan beliau mengenai isu marah ini, maka wujudlah beberapa karya yang mempunyai kesan mendalam.

Anak kelahiran Kedah ini mula mempamerkan karya-karyanya pada 1985.

Beliau adalah siswazah Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga memiliki ijazah sarjana Seni & Rekaan dari Politeknik Manchester di United Kingdom.

Kini Zulkifli bertugas sebagai pensyarah dan ketua dalam fakulti Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pensyarah, beliau masih terus berkarya dan menyertai pelbagai pameran.

Sebuah karyanya yang bertajuk Pembukaan Negeri Baru (The Founding of a New Nation) mengisahkan tentang sejarah Parameswara, di samping menunjukkan sikap marah sang kancil yang bertempur dengan anjing-anjing pemburu raja.

Zulkifli dapat menafsirkan isu-isu yang bersangkutan dengan masyarakat biasa hingga pengolahan mengenai sejarah tanah airnya menerusi kanvas.

Sindiran-sindiran yang tajam dan berisi juga menjadi kekuatan beliau.

Namun apa pun niatnya, ia adalah satu usaha untuk menyedarkan umum mengenai apa yang berlaku.


Tanah liat

Apa yang menarik dan unik tentang pelukis ini ialah apa saja teguran atau kritikan beliau mempunyai maksud luas yang kemudian dipindahkan dalam bentuk lukisan.

Dalam pamerannya yang sedang berlangsung itu, para peminat seni lukis akan dapat melihat pelbagai 'goresan' baru karyanya yang menggunakan tanah liat.

Cara penghasilannya yang menarik itu memerlukan tanah liat dibakar dengan suhu tertentu, sama seperti proses membuat tembikar.

Dengan pelbagai eksperimentasi suhu membakar dan bahan pewarna, hasilnya juga berlainan antara satu karya dengan karya yang lain.

Zulkifli, yang pernah diundang khas ke acara agung seni di Venice Biennale pada 1997, sering meneroka teknik dan bahan-bahan baru untuk berkarya.

Maka itu, lukisan dan goresan seramik adalah cara terbaru beliau menyampaikan apa yang terpendam dalam jiwanya.

Karya-karya yang dihasilkan dengan teknik ini antaranya berjudul Pakatan Jahat, Beta Murka, New Wife dan Curang.

Semua karyanya itu, dengan tajuk-tajuk yang menimbulkan tanda tanya, mempunyai cerita-cerita yang sangat menarik dan kadangkala dapat dianggap sangat lucu.

Namun Hot Temper merangkumi berbagai-bagai sifat marah dan kemarahan itu sendiri.

Kemarahan boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai makna dan hasrat.


Semarak suasana seni Asia

Contohnya dalam karya Dalang Wayang Baru, isu peperangan dan motif untuk menyerang sesebuah negara mungkin berasaskan daripada kemarahan seorang ketua negara.

Dari segi warna, masyarakat seni lebih mudah mengenali karya-karyanya dengan warna-warna hitam, merah dan putih.

Selain warna, Zulkifli juga mempunyai cara tersendiri yang boleh membuat peminat seni lukis tersenyum melihat karya-karyanya itu.

Dengan karya-karyanya yang unik dan mendapat perhatian banyak pihak itu, Zulkifli, yang pernah mendapat beberapa anugerah seni, nampaknya tidak akan berhenti daripada mengadakan pameran-pameran solo ini.

Malah, beliau dijangka lebih agresif dengan hasil karya barunya yang diyakini akan menyemarakkan suasana seni Asia.

http://cyberita.asia1.com.sg/rencana/story/0,3617,54259,00.html?
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2005 12:26 PM | Show all posts
Menarik info dan link yg diberi....dah lama tak citer2 pasal art niew.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-5-2005 12:43 PM | Show all posts
USM warnai teater - Hijrah gilap bakat pelakon baru
Oleh ALI MAHMOOD


Teater Hijrah hasil arahan Pensyarah Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Mohamed Ghause Nasaruddin tetap segar dan hidup. Rata-rata penonton yang memenuhi ruang Auditorium Taman Budaya, di Kuantan, Pahang, baru-baru ini tidak merasa bosan dan memuji bakat lakonan yang ditonjolkan oleh para pelajar Pusat Pengajian Seni USM itu.

Persembahan oleh para pelakon dari Kumpulan Angkasaran, USM seperti juga persembahan kumpulan teater lain, cuba mengkritik realiti kehidupan dan kepincangan yang berlaku kepada masyarakat hari ini.

Mohamed Ghause yang telah mengarahkan lebih 20 pementasan mengakui, Hijrah tidak mempamerkan sebarang elemen pembaharuan, tetapi ia tetap menjadi pentas terbaik untuk mengilap bakat pelakon-pelakon baru bagi diketengahkan dalam teater.

``Bagaimanapun daripada pemerhatian saya, para pelajar Pusat Pengajian Seni itu berjaya mengadaptasikan setiap ilmu yang mereka raih di kuliah dan hasilnya seperti yang kita saksikan. Mereka berjaya menghidupkan watak dan membuat penonton terhibur.

``Saya percaya apabila tamat pengajian nanti mereka mampu menjadi pengarah, penulis skrip dan pelakon yang berwibawa bagi meneruskan kesinambungan pementasan dunia teater tanah air,'' katanya ketika ditemui selepas pementasan itu.

Berdasarkan kebolehan bakat-bakat baru ini, beliau percaya dunia teater yang dikatakan malap dan hidup segan mati tak mahu, akan terus hidup mewarnai dunia teater dan seni negara.

Yang penting, kata Mohamed Ghause ialah usaha yang berterusan perlu dilakukan terutamanya menerusi pendidikan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

``Pendidikan terhadap seni teater perlu mendapat sokongan semua khalayak kerana teater bukan milik golongan seni semata-mata.

``Kalau kita menghadkan bidang seni dan teater kepada kumpulan tertentu sahaja terutamanya kepada kumpulan yang terbabit secara langsung, teater akan terus malap.

``Oleh itu, kumpulan yang mendokong dunia kesusasteraan, seni dan teater perlu mendapat sokongan setiap lapisan masyarakat bermula dari istana sehingga kepada rakyat jelata terutamanya golongan korporat dan pihak birokrat,'' ujar Mohamed Ghause.

Berbalik kepada pementasan Hijrah, Mohamed Ghause membentangkan kepincangan kehidupan masyarakat hari ini yang lebih pentingkan kehidupan di dunia daripada kehidupan yang lebih abadi di akhirat.

Hijrah menceritakan keadaan kehidupan dan pergolakan remaja yang mudah terpengaruh dengan budaya asing dengan mengetepikan nilai-nilai rohaniah hingga terkeluar daripada landasan Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ra&pg=sa_01.htm
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2005 12:45 PM | Show all posts
WAYANG KULIT
WAYANG Kulit merupakan persembahan patung-patung yang digerakkan oleh Tok Dalang berlatarkan layar putih dan diterangi sinar cahaya.

Ia tergolong dalam kumpulan teater tradisional. Komponen penting dalam permainan wayang kulit ialah dalang, patung, kelir (kain layar putih) dan muzik.

Wayang Kulit dimainkan di pesta-pesta keramaian seperti perayaan diraja, temasya selepas menuai padi, acara menyembah guru, mengubati orang sakit, upacara puja semangat dan ritual yang lain.

Dalang yang terkenal dalam permainan wayang kulit ialah Pak Hamzah, Dolah Baju Merah, Dalang Noh Siam dan Pak Margono Sitir.

Hampir semua patung wayang kulit yang dipersembahkan adalah pengaruh dari Thailand dan Jawa walaupun terdapat pengaruh watak-watak tempatan digunakan pada sesuatu persembahan.
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2005 12:52 PM | Show all posts
Wong Pay Li - Hasilkan karya alam sekitar

PELBAGAI cara boleh digunakan oleh individu dalam usaha mengetengahkan karya seni tampak kepada khalayak.

Ini kerana paparan karya seni berus cina yang menarik bukan mudah untuk dihasilkan secara kreatif jika tidak mempunyai kemahiran dalam menguasai teknik melukis dalam aliran itu.

Begitulah yang dilakukan oleh pelukis Wong Pay Li sebagai salah seorang pelukis berus cina yang tidak asing dalam seni lukis negara ini.

Hasil karya lukisan beliau yang menggunakan cat air pada kertas dan kanvas mengetengahkan tema alam sekitar begitu menarik dan menakjubkan untuk dihayati pada pameran yang berlangsung di Artis Space Cafe di Hotel Concorde, Shah Alam, di Selangor baru-baru ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ra&pg=sa_02.htm
Reply

Use magic Report

Post time 7-5-2005 01:57 PM | Show all posts

Ekspresionisme - Dialog warna dengan khalayak

Oleh AZMAN ISMAIL



SUZLEE Ibrahim menyiapkan salah satu lukisan dalam Space Series di studionya di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------

MENGEMBARA dalam warna merupakan istilah yang paling tepat untuk bercerita tentang pelukis ekspresionis terkenal tanah air, Suzlee Ibrahim.

Sejak tahun 1995, beliau dianggap sebagai pelukis yang paling konsisten dengan aliran dan gaya ini. Menerusi warna, beliau menceritakan secara visual tentang kebimbangan, keindahan, ketakutan dan sebagainya.

Sapuan berus yang bersahaja dan spontan, catan tebal dan tekstur yang kasar pada permukaan kanvasnya, melambangkan suatu pergerakan idea atau perasaan beliau.

Tidak dinafikan, gaya ekspresionisme oleh pelukis Jackson Pollock dan Willem de Kooning mempunyai pengaruh besar terhadap karya-karya awal Suzlee terutama dari aspek gestural dan tekstural.

http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ra&pg=sa_01.htm
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 08:04 PM GMT+8 , Processed in 0.086665 second(s), 45 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list