|
SHAH ALAM - Polis Selangor masih menunggu keputusan dari Bukit Aman untuk tindakan lanjut terhadap dua pegawai yang cuai ketika mengawasi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan ini di Bahagian Perundangan Bukit Aman kerana ia melibatkan pegawainya.
“Kita masih menunggu keputusan Bukit Aman untuk arahan selanjutnya bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau turut mengesahkan dua pegawai berpangkat inspektor itu masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Ampang Jaya.
Sementara itu, mengulas tentang jangka masa bila keputusan itu akan dikeluarkan, Fadzil berkata, ia belum dapat dipastikan lagi dan itu bergantung dengan Bukit Aman.
Berhubung operasi mencari Jamal, beliau berkata, setakat ini masih tiada sebarang petunjuk.
“Seperti yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak Indonesia bagi menjejak Jamal yang dikatakan berada di negara itu.
“Kita masih lagi berusaha mengesan beliau dan waran tangkap masih lagi ‘on’,” katanya.
Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.
Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.
Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.
Namun, beliau sehingga kini masih gagal dikesan dan dipercayai melarikan diri ke negara jiran. |
|