|
ISKANDAR PUTERI - “Saya reda dan terima dengan ujian yang menimpa ke atas saya,” luah Nur Fadzlina Abdul Rahman, 23, tunang kepada mangsa kejadian lemas di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 24 Mac lepas.
Difahamkan, Nur Fadzlina dan mangsa, Muhamad Syukri Kamaluddin akan diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 9 Syawal (23 Jun) ini, namun segalanya terpaksa dilupakan setelah berlakunya tragedi menyayat hati tersebut.
Lebih memilukan, katanya, segala perancangan serta urusan majlis perkahwinan telah diselesaikan termasuk jemputan, tempahan makanan untuk tetamu dan baju nikah.
“Semua itu terpaksa keluarga kami batalkan selepas kehilangan Muhamad Syukri yang pergi dijemput Ilahi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bukan jodoh untuk mereka bersama tetapi dia nampak keihlasan Muhamad Syukri untuk menjadikannya sebagai suri hati.
“Perasaan rindu itu tetap ada, bagi saya dia seorang yang penyayang,
“Arwah juga seorang yang baik dan disenangi orang sekelilingnya,” katanya.
Nur Fadzlina berkata, kehilangan itu juga tidak dapat merealisasikan impiannya untuk menjalani Aidilfitri sebagai seorang isteri.
Bagaimanapun, katanya, Allahyarham akan sentiasa menjadi kenangan terindah di dalam hidupnya selepas ini.
“Paling saya terasa adalah ketika arwah buat kejutan pada hari jadi saya pada Oktober tahun lalu.
“Itulah kenangan terindah buat diri saya sebab dia menunjukkan sikapnya yang benar-benar sayang dan menghargai saya,” katanya.
Bagi melepas rindu terhadap arwah, Fadzlina berkata, dia akan menatap gambar kenangan lalu selain berkunjung ke pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Taman Nusantara dan berdoa untuk arwah.
24 Mac lalu, Muhammad Syukri bersama enam lagi rakannya menghabiskan masa cuti hujung minggu di pusat peranginan Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Namun, arwah lemas selepas turun mandi di pantai berkenaan bersama seorang lagi rakannya.
Manakala rakannya pula sempat diselamatkan oleh orang awam yang berada di sana. |
|