|
KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan meminta pandangan berhubung hasrat kerajaan Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Abang Johari turut menafikan niat untuk kembali menyertai BN sekiranya bekas parti komponennya itu berjaya membentuk kerajaan Persekutuan pada masa depan.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata, beliau selaku jurucakap mewakili Ketua Menteri menafikan dakwaan Ahmad Zahid seperti yang ditularkan dalam media sosial hari ini.
Tegasnya, Ketua Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ada mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Ahmad Zahid.
"Parti kita sudah jelas mengumumkan bahawa matlamat meninggalkan BN dan menubuhkan GPS atas alasan hanya parti ini sahaja yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memperjuangkan hak Sarawak," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada video tular di media sosial yang menunjukkan Ahmad Zahid dalam ucapannya mendakwa beliau ada berjumpa dan berbincang dengan Abang Johari berkenaan niat kedua menubuhkan GPS dan meninggalkan BN.
Dalam video berdurasi 2 minit 41 saat itu, Ahmad Zahid mendakwa, Abang Johari telah meminta pandangan beliau untuk menubuhkan GPS sebagai entiti berlainan daripada BN kerana tiada pilihan jika ingin menang dalam pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dua tiga tahun lagi. -K! ONLINE
|
|