CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 357|Reply: 0

[Tempatan] Konflik gajah 4 dekad

[Copy link]
Post time 23-6-2018 09:40 AM From the mobile phone | Show all posts |Read mode
Telupid: Konflik gajah Pygmy Borneo di Sabah terus meningkat dengan sekurang-kurangnya tujuh kes kematian haiwan liar itu direkodkan dalam tempoh 14 bulan pada 2016 sehingga tahun lalu.

Dalam tempoh sebulan antara April hingga pertengahan Mei lalu, enam gajah Pygmy Borneo mati di beberapa lokasi di negeri ini namun punca kematian belum didedahkan.

Kematian gajah direkodkan bukan saja di Tawau, malah Kinabatangan dan Telupid dengan sebahagian besar haiwan liar itu ditemui dibunuh pemburu haram, selain menjadi mangsa kepada konflik dengan manusia.

Kehilangan habitat akibat penebangan hutan bagi memberi laluan kepada perladangan kelapa sawit di Sabah disifatkan sebagai ancaman kepada populasi itu yang dianggarkan cuma sekitar 1,500 ekor di Sabah dalam kajian dibuat Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) pada penghujung 2010.

Di Telupid, konflik itu dipercayai bermula sejak 1972 dengan kawasan pertama kali dikunjungi gajah adalah berhampiran Sungai Labuk, bagaimanapun kebakaran besar hutan pada 1985 dipercayai menyebabkan gajah berhijrah sehingga tempat itu dibangunkan dengan aktiviti pertanian.

Selepas lebih empat dekad, kehadiran gajah dikesan semula di Kampung Bauto pada 2014 dan secara purata hadir setiap tiga minggu bermula 2016, sebelum memasuki kawasan perkampungan lain iaitu Kampung Gambaron, Liningkung, Telupid Batu 4, pekan Telupid, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid dan Balai Polis Telupid.

Bagi penduduk, kehadiran gajah yang semakin kerap kini pada tahap membimbangkan kerana bukan saja dikhuatiri mengancam keselamatan, malah menyebabkan penduduk terpaksa berhenti menanam kelapa sawit yang menjadi makanan ‘kegemaran’ hidupan liar itu.

Pesara kerajaan, Salati Sallah, 76, antara penduduk yang terpaksa menanggung kerugian selepas hampir 1,000 pokok kelapa sawit yang ditanam dimusnahkan gajah tanpa sempat menuai hasil, selain beberapa tanaman lain termasuk getah, ubi kayu, pisang dan kelapa.

“Pertama kali saya tanam, dua malam saja habis dimakan oleh gajah...ada 40 ekor yang datang (ketika itu).

“Kali kedua saya tanam, ia (gajah) datang, makan lagi. Tinggal satu ekar (0.4 hektar) saja (tanaman kelapa sawit), tapi itu pun sudah empat hingga enam kali gajah datang ke sini.

“Kalau boleh saya minta kerajaan bantu (ganti kerosakan tanaman) sebab sudah tiada tanaman tinggal...pindahkanlah gajah jauh ke tempat lain supaya tidak datang lagi ke sini,” katanya sambil berharap kerajaan menyediakan bantuan menggantikan tanaman kelapa sawit yang dirosakkan gajah.

Seperti Salati, penduduk Kampung Gambaron Justian Ajin, 50, terpaksa menghentikan rancangan menanam kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan keluarganya sejak 20 tahun lalu apabila sejumlah 195 bibit kelapa sawit yang diperoleh menerusi skim tanaman semula daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dimusnahkan gajah sejak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 5:19 AM
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 02:59 AM GMT+8 , Processed in 0.055636 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list