"Cerita itu mengandungi pengajaran dan moral walaupun karakter Lydia agak 'bengap' jadi kami boleh menyampaikan mesej menerusi cara yang ringan dan menyeronokkan," katanya di Instagram.
Selain Sakinah, Bini Aku Dari... turut menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Hakim Ridza, Ungku Hariz, Fiza Thomas dan Sharifah Shahora.
Telfilem arahan Helmy Yusof ini ditayangkan pada 17 Jun lalu di Astro Warna.
Dalam pada itu, Sakinah berpendapat netizen yang menuduh drama itu sebagai mempersendakan agama Islam adalah golongan yang tidak menonton cerita itu sehingga habis.
Katanya lagi, sikap itu mempunyai persamaan dengan wataknya yang digambarkan sebagai seorang yang naif, 'bimbo' dan hanya pandai membuat andaian mengenai perihal agama berdasarkan internet.
"Lydia ini bengap, 'lenge' ala-ala naif yang tidak memperdulikan untuk belajar mengenai agama dan hanya membuat andaian dengan fakta dan fatwa dari Google.
"Lepas tu, dia sangat ekstrem tanpa guru yang betul atau membuat kajian mendalam, dengar pun separuh-separuh. Macam penonton yang serang inilah tengok pun agaknya separuh-separuh," ujarnya.
Tambah Sakinah, ketika membawa watak itu dia tidak pernah membayangkan dirinya sebagai seorang pelawak tetapi pelakon yang cuba menzahirkan karakter Lydia sebaik mungkin.
"Pertamanya, saya melihat diri saya sebagai seorang pelakon berbanding pelawak jadi bukan niat saya untuk membuat lawak semberono.
"Saya gembira jika penonton terhibur dengan jalan cerita dipaparkan dan mengambil iktibar daripada mesej yang kami cuba sampaikan," jelasnya.