|
KOTA BHARU 12 Julai - Mayat bayi perempuan yang ditemukan mati di tali air dekat Dewan Beta semalam, didapati telah ‘maut’ tujuh hingga ke lapan jam sebelum terdampar di belakang rumah seorang penduduk kampung.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan penyiasatan awal pihaknya mendapati bayi berkenaan telah mati lemas akibat dibiarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Kalau kita lihat keadaan jenazah bayi itu sangat menyayat hati, bayi yang tidak berdosa dibiarkan oleh ibu yang tidak berhati perut.
“Oleh itu, saya merayu kepada masyarakat agar tampil ke hadapan memberikan maklumat supaya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.
Kira-kira 600 tetamu hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Semalam, akhbar melaporkan seorang mekanik terkejut selepas melihat mayat seorang bayi perempuan masih bertali pusat dibuang di dalam parit belakang rumahnya di Kampung Atas Pengget, Dewan Beta di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang, Mat Jusoh Awang, 54, ingin ke tandas rumahnya sebelum melihat mayat bayi tersebut yang terapung di dalam parit itu.
-UTUSAN ONLINE
|
|